am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Ketika umat Islam menghitung hari menanti 1 Syawal, seorang balu di daerah ini bersyukur apabila persiapan raya buat tiga anaknya lengkap di saat akhir.
Hasmah Hassan, 49, tidak menyangka anaknya berusia antara 11 hingga 16 tahun itu bertuah apabila menerima sumbangan baju raya daripada insan prihatin.
“Saya sudah membeli masing-masing sepasang baju baharu, tetapi dengan sumbangan ini dapatlah anak-anak saya sepasang lagi baju untuk memeriahkan raya mereka.
“Terima kasih banyak-banyak kepada pemilik kedai ini (yang menyumbang baju raya),” katanya yang kematian suami akibat serangan jantung, awal Januari lalu.
Dalam pada itu, peniaga, Mohd Azrol Azhar, 37, yang berkongsi rezeki dengan memberi pakaian raya percuma kepada asnaf dan anak yatim berkata, dia mahu berkongsi kegembiraan dengan golongan memerlukan di penghujung Ramadan.
“Dengan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi, golongan kurang berkemampuan sangat terbeban dalam membuat persiapan hari raya.
“Jadi saya terpanggil untuk membantu mereka. Saya mahu mereka juga menyambut hari raya dalam suasana gembira dengan pakaian baharu,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Simpang Tok Ku.
Menurutnya lagi, selain baju raya, dia juga menyediakan duit raya kepada kanak-kanak daripada golongan memerlukan.
“Ini niat saya dan berniaga bukan kerana mengejar keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada membantu orang susah… saya gembira dapat bantu mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




