Taburan hujan luar biasa, air pasang burukkan banjir di Johor

Taburan hujan luar biasa, air pasang burukkan banjir di Johor

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Banjir yang melanda lima daerah di Johor ketika ini susulan taburan hujan luar biasa mencecah 150 milimeter (mm), berbanding purata hanya 20 mm.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia ditambah fenomena air pasang sekitar 3.0 meter, yang telah menyebabkan banjir luar jangka di beberapa kawasan.

Susulan itu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas bersama agensi berkaitan bagi membincangkan situasi semasa banjir di Johor yang dilihat semakin membimbangkan.

Katanya, daerah terjejas banjir membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Pontian dan Kluang dengan sebanyak 43 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka, membabitkan 2,550 mangsa daripada 707 keluarga, setakat 4.00 petang.

“Dalam mesyuarat yang diadakan tadi, saya telah mengarahkan semua agensi penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menggerakkan aset dan logistik bagi mempercepatkan operasi menyelamat.

“Saya juga telah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi bagi menjamin kesejahteraan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Banjir yang melanda negeri ini susulan hujan lebat berterusan lebih 24 jam sejak semalam.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) petang tadi mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk membabitkan enam daerah iaitu Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top