am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pemilik kedai emas di pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, kerugian kira-kira RM250,000 akibat disamun perompak bersenjatakan pistol mainan, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, suspek berpakaian serba hitam itu melarikan dua dulang berisi kira-kira 50 utas rantai tangan emas pelbagai berat dengan menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada lelaki pemilik kedai emas berusia 49 tahun memaklumkan kejadian.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Kuala Sungai Baru bergegas ke tempat kejadian di K-5 Bangunan Arked Mara untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya berdasarkan laporan, mangsa mendakwa tidak sedar suspek masuk ke dalam kedai kerana leka sedang bermain telefon bimbit.
“Apabila tersedar mangsa terkejut melihat sepucuk pistol diacukan kepadanya dan terus melarikan diri ke dalam pejabat bersama anak berumur 10 tahun dan tujuh tahun.
“Mangsa kemudian mendengar bunyi kaca dipecahkan sebanyak satu kali dan keadaan menjadi senyap.
“Pengadu kemudian keluar dan mendapati kaca pameran dipecahkan dan kira-kira dua dulang rantai emas sudah tiada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashari berkata, hasil siasatan terdapat saksi awam melihat seorang lelaki tidak dikenali berpakaian hitam masuk ke kedai emas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Saksi turut mendengar bunyi kaca dipecahkan sebelum melihat seorang lelaki keluar dari kedai dan melarikan diri dengan menaiki motosikal diletakkan di hujung kedai.
“Hasil siasatan di tempat kejadian polis berjaya menemui tiga kesan cap jari dan satu pistol mainan warna hitam ditinggalkan di lantai kedai.
“Namun pemeriksaan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah melakukan samun dengan menggunakan pistol mainan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



