31 Mei 2026 10:45pm
Masa membaca: 4 minit

Fadhlina – Foto fail Bernama
KUALA LUMPUR – Penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat menjadi antara faktor utama dalam menjayakan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh sedekad akan datang menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, komitmen dan sokongan jitu daripada semua pihak berkenaan amat diperlukan, khususnya dalam mendepani pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah dan persekolahan tahun depan.
“Pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah juga telah bermula dan peluasan kelas prasekolah sedang giat dilaksanakan di seluruh negara. Pada tahun depan pula, kita akan memulakan kurikulum persekolahan baharu melibatkan anak-anak tahun satu dan tingkatan satu.
“Semua ini hanya akan berjaya dengan komitmen dan sokongan jitu semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat. Misalnya, sesi membaca yang diperkenalkan untuk anak-anak prasekolah. Ia memerlukan komitmen ibu bapa untuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak. Begitu juga dengan inisiatif-inisiatif lain yang memerlukan kerjasama semua,” katanya.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri sesi bersama warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) kawasan Ayer Molek dan Pengkalan Batu di Melaka.
Pada sesi itu, beliau berkata, Melaka perlu menjadikan pencapaian baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh serta memperkasakan ekosistem pendidikan di negeri berkenaan.
Beliau turut menyampaikan peruntukan bernilai RM280,000 bagi tujuan naik taraf bilik guru yang memberi manfaat kepada 13 buah sekolah.
“Semoga inisiatif naik taraf bilik guru di sekolah-sekolah akan memberi keselesaan kepada para guru, sekali gus mendorong mereka untuk memberikan yang terbaik dalam melaksanakan amanah mendidik anak-anak,” katanya. – Bernama



