Tahun Baru Cina lebih ‘ong’ bersama semangat Keluarga Malaysia

Selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan
keluarga, pada tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina
bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

Peluang yang dinikmati ini diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan
kekeluargaan.

Namun di kala bergembira, Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaacob, dalam satu
kenyataan media berkata, SOP dalam memastikan kita semua dapat terus hidup membendung penularan wabak COVID-19 tidak dilupakan semua.

PM turut berterima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang berganding bahu dengan kaum
lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah
Keluarga Malaysia.

Sempena Tahun Harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan
ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.

Marilah kita terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan
semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.

Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan
pembukaan semula lebih daripada 90% sektor ekonomi, dan kebanyakan aktiviti sosial.

Pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan
populasi telah divaksinasi.

Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan
yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5% dan 6.5% pada 2022. Ia selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0% dan Bank Dunia pada 5.8%.

Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai
RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

Penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang
kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai
negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan
kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia.