mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sejak sekian lama, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggunapakai garis panduan hanya menaja pelajar yang tidak mendapat mana-mana bantuan pembiayaan sebagai syarat utama penajaan mereka.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, garis panduan itu bukanlah syarat baharu, namun ditetapkan sejak puluhan tahun dahulu.
“Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berhajat untuk membeli sebuah rumah baharu, dia tidak boleh menerima pembiayaan dari dua bank berbeza.
“Begitulah juga halnya dengan pembiayaan pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas mengenai isu pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) yang ditolak permohonan penajaan Mara disebabkan sudah menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Mengulas lanjut, Zulfikri berkata, semasa permohonan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) dibuka pada November 2024, syarat pelajar tidak menerima tajaan atau bantuan kewangan daripada mana-mana penaja atau agensi lain bagi peringkat pengajian sama dinyatakan secara jelas dalam garis panduan permohonan sebagai salah satu syarat utama penajaan Mara.
“Mara ingin memberi peluang kepada seramai pelajar Bumiputera yang tidak pernah menerima bantuan daripada penaja lain untuk mendapat bantuan pinjaman pelajaran Mara.
“Mara sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Sehingga kini, Mara menaja seramai 423 pelajar di UNISHAMS sejak 1999 dengan 173 pelajar masih aktif ditaja dalam pelbagai bidang termasuk 144 pelajar perubatan.
Setakat 31 Mac 2025, Mara juga sedang menaja 4,510 pelajar Bumiputera dalam bidang perubatan di dalam negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




