am@hmetro.com.my
Shah Alam: BERSATU tidak boleh terperangkap dan mengikut rentak yang ditentukan orang lain, sebaliknya mesti tampil sebagai parti yang menentukan acuan dan haluan politik abad ke-21.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, politik abad ke-21 menuntut kepada pembaharuan, keterbukaan, keberanian dan relevensi terhadap aspirasi terkini rakyat.
“Jangan kita terbuai dengan nostalgia, kerana politik abad ke-21 juga menuntut kita untuk senantiasa mencipta kejayaan masa hadapan. BERSATU perlu dinamik, perlu ada kekuatan moral yang menjadi kompas kepimpinan. Kekuatan yang akan memberi keyakinan kepada rakyat.
“BERSATU juga mesti ada kelestarian yang bersendikan kebitaraan. Sebagai panduan untuk beroleh keredaan kita sentiasa menghayati epistemologi tawhidik,” katanya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan sayap BERSATU di sini, tadi.
Turut sama hadir, Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Armada, Muhammad Hilman Idham; Ketua Srikandi Muda, Nurul Ezzati Azmi serta Ketua Sayap Bersekutu, Chong Fat Full.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sayap parti perlu melakukan ‘engagement’ berterusan dengan semua lapisan rakyat, kerana ia penting untuk parti memahami aspirasi serta kebimbangan mereka dan seterusnya membina kepercayaan jangka panjang.
“Kuasai naratif digital khususnya di media-media sosial. Lakukan digital ‘first’ secara strategik dengan konsisten dan proaktif. Tingkatkan literasi politik dan peri pentingnya demokrasi khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BERSATU perlu mengangkat konsesus nasional sebagai agenda nasional untuk ditawarkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Konsensus yang bertujuan memperbetulkan struktur dan institusi kepimpinan negara, menyalakan ekonomu dan mencapai kesepaduan sosial berteraskan kepada tiga prinsip utama iaitu matlamat bersama, berkongsi kemakmuran bersama dan keprihatinan tadbir
urus.
“Konsensus untuk menjadikan negara ini hebat semula, kita pernah bergelar ‘Asian Tiger’ dan kita boleh lakukan sekali lagi dengan ditunjangi Perikatan Nasional (PN).
“Kita bukan menjanjikan bulan dan bintang tetapi menawarkan masa depan yang lebih realistik, lebih adil dan lebih baik kepada rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




