'Tak kisah apa orang nak kata'

'Tak kisah apa orang nak kata'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Walaupun lahir dan membesar di Malaysia, namun karier nyanyian Baby Shima nampaknya lebih bersinar dan diterima positif peminat dangdut Indonesia.

Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia juga sudah lima tahun menetap di negara jiran itu dan pulang ke tanah air apabila mempunyai urusan kerja dan persembahan.

Shima ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia tiada masalah menetap di Indonesia dan gembira karier nyanyiannya diterima baik peminat dangdut di sana.

“Sudah lima tahun saya berhijrah ke Indonesia dan semuanya baik-baik saja. Lagipun, saya masih ada kontrak dengan syarikat rakaman di sana. Jadi, lebih memudahkan saya menyusun jadual kerja serta terima undangan menyanyi.

“Rezeki juga lebih di sana (Indonesia) dan saya terima dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah, masyarakat setempat juga terima kehadiran saya dan sangat menyokong,” katanya.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap kecaman diterima daripada netizen Malaysia, Shima berkata, dia sudah biasa dan tak tahu lagi nak rasa apa di hati.

“Saya tak boleh nak tutup mulut orang. Setiap daripada kita pun berhak untuk nak cakap apa. Tapi, saya terbuka juga membalas komen netizen.

“Jadi, kalau tanya saya penat menghadap kecaman-kecaman orang, mungkin sudah terbiasa. Hendak mengelakkan pun tak boleh. Sebab itu, saya okay saja dan tidak kisah pun (dikecam).

“Saya juga bersuara (lantang) di media sosial, kalau ada yang melebih-lebihlah (netizen). Macam kita ini teruk sangat. Tapi kalau setakat kecam biasa-biasa, itu normal (biasa).

“Bagaimanapun, jika sudah sampai tahap yang kita rasa dah tidak boleh berdiam diri itu, kena bersuara jugalah,” katanya dan turut menafikan suka bergaduh di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Shima akan terbabit dalam Konsert Inul Daratista Live In Malaysia Millenial Dangdut Nusantara bersama Amelina di Pulau Pinang pada 6 Disember depan.

Ditanya mengenai dirinya yang boleh dianggap sebagai penyanyi dangdut ‘junior’ berbanding dua figura wanita itu, Shima berkata, dia sangat menghormati pengalaman Inul dan Amelina.

“Saya tak fikir perlu ada kebimbangan untuk beraksi dengan kak long Amelina dan bonda Inul kerana mereka ‘senior’. Bagi saya, kena yakin dengan diri sendiri.

“Kita sebagai penyanyi hanya nak hiburkan peminat dalam persembahan sahaja. Jadi, saya akan cubalah buat terbaik dalam konsert itu nanti. Termasuk pilih pakaian sesuai.

“Tapi gelek tetap gelek sebab menyanyi lagu dangdut. Cuma, saya belum pasti lagi bagaimana bentuk konsep persembahan itu nanti. Masih dalam perancangan,” katanya.

Turut ditanya mengenai lagu baharu, Shima berkata, dia sudah melancarkan lagu Island Boi yang bergenre pop dangdut kontemporari pada 22 Ogos lalu.

Katanya, setakat ini lagu Island Boi hasil ciptaan dan lirik ditulis oleh Ezra Kong itu mendapat sambutan baik pendengar muzik di Malaysia dan Indonesia.

“Apapun, penghasilan muzik video lagu Island Boi ini diinspirasi daripada suasana indah Pulau Bali, Indonesia. Ini kerana, bersesuaian dengan penceritaan lagu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada peminat yang setia menyokong karier muzik Shima di mana sahaja berada. Saya hanya mahu berkarya dengan cara sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Shima pernah bekerjasama dalam beberapa lagu bersama kumpulan Floor 88 dan gandingan mereka cukup popular dengan lagu Roadblock Hatiku pada 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top