mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Apabila isteri bagi ‘wish’ (ucapan) awal pagi tadi, baru saya tersedar bahawa hari ini ulang tahun kelahiran saya yang ke-62,” kata penyanyi kumpulan Meditasi iaitu Burn.
Burn atau Bakaruddin Daud berkata, sehingga hari ini, fikirannya masih teringat peristiwa kematian tragis pemain dram mereka, Raja Azreen, Sabtu lalu.
“Setelah selesai kebumikan arwah. Saya fikir betulkah tindakan saya ambil ‘job’ show Teruntum Rock Festival itu? Tetapi saya dah bertanya sebelum ambil kontrak show di situ.
“Arwah baru sebulan keluar dari wad Hospital Cyberjaya. Saya masih ingat dialognya, alah… kita jam (jamming) santai-santai sahaja.
“Katanya, lagi pun Kuantan itu tempat kita dapat title ‘Juara Rock Negeri Pahang pada tahun 1986’,” kata Burn kepada Harian Metro.
Menurutnya, kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga sehingga kini dan ia sukar dihakis.
“Lagi satu kami berbual-bual dan arwah cakap, Burn kalau kau tak jumpa aku di syurga, kau cari aku tau. Saya pun jawab secara bergurau, mana aku ada masa nak cari kau Azz, sebabnya aku sedang menikmati keindahan syurga.
“Kami pun ketawa dalam kereta sepanjang perjalanan ke Kuantan. Waktu perjalanan dari hotel ke pentas dia punya ‘dressing’ amat mengujakan saya,” katanya.
Burn berkata, selepas Azreen meninggal, semangat dia dan isterinya ‘down’ kerana merasa satu kehilangan yang besar semasa pulang ke Kuala Lumpur.
“Isteri kata, kami pergi bertiga dan pulang hanya berdua. Saya pun berhenti di R&R dah tak boleh tahan sebak di hati. Itu yang saya sempurnakan jenazah arwah sebagai menghilangkan rasa sebak saya.
“Tiga hari kami di rumah Liey (gitar utama) banyak dialog yang jarang kami bualkan, diperbualkan. Yang pasti petanda itu ada, tapi kita lalai. Dia ingatkan kami jangan lupa solat.
“Kalau tak boleh berdiri kita duduk, kalau tak boleh duduk kita baring, kalau baring pun tak boleh solat lebih baik pergi meninggal dan kami pun ketawa,” katanya.
Burn berkata, dialog arwah yang memberitahu mahu solat maghrib terlebih dahulu sebelum berjumpa di lobi hotel untuk ke lokasi show dirasakan sesuatu yang indah.
“Saya tengok ada yang komen macam-macam pada arwah di media sosial. Ada yang mempertikai cara kematian arwah ketika aktif dalam seni.
“Saya ingat dialog arwah, kita pergi cara kita, kau pergi cara kau. Mengapa nak susun cara hidup masing-masing? Seperti saya kata sebelum ini, kami main muzik sekarang bukan sebagai sumber pendapatan.
“Ia sekadar mengeratkan persahabatan kami dari 1988 sehingga kini. Satu lagi perkara yang saya perasan, tarikh kematian Azreen iaitu 18 Julai 2026, adalah sama dengan tarikh kematian arwah Yan (pemain bass) Meditasi pada 18 Julai 2006. Sama-samalah kita doakan roh mereka dicucuri rahmat Allah,” katanya.
Terdahulu, Raja Azreen yang juga pemain dram Meditasi rebah ketika menjayakan persembahan di Rock Festival Teruntum, Kuantan dan disahkan meninggal dunia pada jam 10.58 malam, Sabtu lalu.
Jenazah Azreen dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi pada Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




