am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Khai Bahar menegaskan keputusan untuk mengurangkan perkongsian di media sosial bukan disebabkan mahu mengelak penyakit ain, sebaliknya bagi menghindari salah faham dan spekulasi dalam kalangan netizen.
Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia kini lebih berhati-hati berkongsi mengenai kehidupan peribadi kerana tidak mahu memberi ruang kepada pihak tertentu mencipta cerita yang tidak benar.
“Saya memang semakin kurang berkongsi di media sosial sebab tak nak orang cipta cerita yang tak ada.
“Jadi, lebih baik saya perlahan-lahan kurangkan perkongsian, bukan sebab nak elak penyakit ain.
“Tapi bukanlah saya tak berkongsi langsung. Kalau berkaitan kerja atau perkara penting, saya tetap akan kongsi,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton eksklusif drama vertikal Impian Di Seoul, hari ini.
Penyanyi lagu Bayang itu berkata, dia juga tidak mahu dilihat terlalu ghairah berkongsi kehidupan di media sosial kerana bimbang mengundang kecaman atau persepsi negatif daripada netizen.
Menurutnya, dia kini lebih menjaga setiap kandungan yang dimuat naik, termasuk ketika berada di gimnasium.
“Saya tak akan kongsi di Threads. Kalau nak kongsi pun, cukuplah di Instagram Story.
“Saya hanya berkongsi video pendek berkenaan hari saya tetapi aktiviti di gimnasium seperti memakai singlet memang saya tak akan kongsi. Saya akan sentiasa cuba berpakaian sesopan yang mungkin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




