Piala Dunia: Beckham kaut RM104 juta, Shakira RM82 juta

Piala Dunia: Beckham kaut RM104 juta, Shakira RM82 juta

New York: Sepanyol mungkin muncul juara Piala Dunia, namun legenda England, David Beckham, boleh dianggap antara individu paling bertuah meraih keuntungan sepanjang kejohanan itu.

Bekas kapten England berusia 51 tahun itu dilaporkan mengaut kira-kira £19 juta (RM104 juta) menerusi pelbagai kempen pengiklanan yang disiarkan sepanjang Piala Dunia berlangsung.

Beckham muncul hampir setiap kali waktu rehat iklan apabila menjadi wajah promosi pelbagai jenama terkenal termasuk Bank of America dan snek Lay’s.

Pemilik bersama kelab Inter Miami itu, yang memiliki nilai kekayaan gabungan bersama isterinya, Victoria Beckham, dianggarkan mencecah £1.185 bilion (RM6.8 bilion), turut membintangi iklan Home Depot, McDonald’s, Stella Artois dan Adidas.

Penganalisis pasaran menganggarkan keluarga Beckham meraih sekitar £19 juta hasil kontrak penajaan dan kempen pengiklanan sepanjang kejohanan itu.

Pakar budaya dan penjenamaan, Nick Ede berkata, Piala Dunia bukan sekadar kejohanan bola sepak terbesar dunia, malah antara platform pengiklanan paling bernilai di peringkat global.

“Jenama sanggup membelanjakan puluhan juta pound untuk mendapatkan selebriti yang mampu menarik perhatian penonton ketika waktu rehat iklan kerana mereka tahu iklan itu ditonton berbilion orang di seluruh dunia,” katanya.

Menurut Ede, penyanyi terkenal Shakira juga dijangka menerima bayaran lumayan sekitar £15 juta (RM82 juta) sepanjang Piala Dunia apabila penampilannya pada kejohanan itu melonjakkan semula jumlah penstriman lagu-lagunya di seluruh dunia.

“Shakira dan bola sepak mempunyai hubungan yang cukup kuat hasil legasinya di Piala Dunia. Setiap kali kejohanan berlangsung, minat terhadap muzik dan jenamanya kembali meningkat.

“Persembahannya pada majlis pembukaan dan penutupan mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara bintang terbesar dunia.

“Pada majlis penutupan, dia mempersembahkan lagu Dai Dai bersama Burna Boy. Ia adalah Piala Dunia keempat yang menyaksikan Shakira membuat persembahan, sekali gus menjadikan namanya cukup sinonim dengan kejohanan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top