Tak perlu buat pembelian panik

Tak perlu buat pembelian panik

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) menegaskan pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, ini kerana bekalan barangan asas mencukupi dan pihaknya akan sentiasa memantau serta menyelia harga barang

sepanjang tempoh konflik ini.

“KPDN WPKL memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas harian adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.

“Pemantauan bekalan dilaksanakan secara menyeluruh di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, KPDN WPKL turut melantik dan memantau beberapa Peruncit Terpilih

Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran.

Katanya, KPDN WPKL juga melaksanakan sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan utama seperti lebuh raya dan pusat bandar.

“Dalam masa yang sama, pemantauan terhadap barangan kawalan melalui Ops Tiris 4.0 bersepadu akan terus diperkukuhkan bagi mengelakkan sebarang aktiviti penyelewengan.

“Seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDN WPKL telah digerakkan untuk memantau keberadaan bekalan dan harga di seluruh pelusuk Kuala Lumpur secara berterusan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pengguna dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Orang ramai yang mengesan sebarang masalah berkaitan bekalan barangan keperluan di kawasan masing-masing diminta untuk melaporkan terus kepada pihak KPDN WPKL untuk tindakan segera.

“KPDN WPKL komited untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa

mencukupi dan stabil demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurutnya, sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak kementerian melalui portal e-aduan.kpdn https://eaduan.kpdn.gov.my, call centre 1 800 886 800 dan e-mail kepada e-aduan@kpdn.gov.my.

Selain itu katanya, pengguna juga boleh mengemukakan aduan menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 / 6245 atau menerusi WhatsApp 019-848 8000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top