'Tak perlu risau, Kane bakal 'meletup'

'Tak perlu risau, Kane bakal 'meletup'

LONDON: England tidak perlu bimbang dengan persembahan ‘layu’ yang diperagakan Harry Kane ketika menentang Croatia, kata Frank Lampard.

The Three Lions membuka kempen Kejuaraan Eropah 2020 menerusi kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Raheem Sterling.

Anak buah Gareth Southgate itu boleh menang dengan jaringan lebih besar, termasuk menerusi Kane namun percubaan penyerang Tottenham Hotspur itu gagal menemui sasaran.

Itu satu-satunya percubaan yang dilakukan pemain berusia 27 tahun itu di Wembley ketika rakan sepasukan lain lebih menyerlah pada aksi di laman sendiri.

Namun, bekas bos Chelsea, Lampard menegaskan Kane akan terus menjadi watak utama buat England dan bakal ‘meletup’ apabila tiba masanya pada kejohanan berkenaan.

“Saya tidak risau mengenai Harry Kane, dia tetap menjadi pemain kepercayaan kami. Pasukan bermain dengan baik dan petanda positif dapat dirasakan daripada pasukan ini.

“Masa Harry Kane akan tiba juga nanti.”

Bekas penyerang England, Alan Shearer pula melihat Kane ‘sedikit perlahan’ dan pemain itu sepatutnya menyudahkan peluang yang terhidang.

Ketika ditanya aspek negatif yang boleh dilihat daripada perlawanan itu, Shearer menjawab: “Mungkin hanya Harry Kane, dia nampak agak perlahan dan saya jangkakan dia dapat menyudahkan hantaran lintang yang diterimanya itu.

“Namun, England yang beraksi baik pun tidak mencipta banyak peluang untuknya. Selain Kane, semua pemain nampak bagus.” – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top