Pelakon popular, Nabila Huda atau lebih mesra dengan panggilan Abil, gagal menahan sebak selepas diajukan soalan mengenai bapanya yang juga penyanyi rock legenda, Amy Search.
Kata Abil, isu yang berlaku antara dirinya dan bapanya diterima sebagai takdir hidup yang harus ditempuh, walaupun jauh di sudut hati, rasa rindu untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain tidak pernah padam.
Selain itu, Abil turut mengakui bahawa momen yang tular di platform Threads baru-baru ini cukup menyentuh emosi dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam dirinya.
“Mengulas isu itu saya anggap ia takdir. Cuma saya rasa rindu. Tapi macam saya cakap it’s okay, maybe not now tapi kita akan bahagia the next life. Mungkin situasi semasa dan takdir yang membuat kita terpisah dan saya mendoakan semuanya okay.
“Momen ni memang sangat emosional sebab cerita ini tak pernah habis dari saya kecil hingga besar. Tapi tak guna kita emosional, hidup perlu diteruskan saya pun ada kehidupan sendiri, semu aorang ada kehidupans endiri jadi saya tak perlu bagi tahu dekat semua orang pasal isu personal saya.
“Tapi saya percaya, kalau kita dipisahkan oleh takdir, masa.. Allah tahu macam mana nak kembalikan semula tanpa kita tahu.
“Saya tak pasrah tapi setiap orang ada jalan hidup dia masing-masing. Dan kita jalani sahaja dengan tenang. Kalau ada rezeki, tiba masa untuk bersama maknanya kita bersama,” katanya.
Abil berkongsi perkara demikian ketika ditemui usai tayangan Perdana Filem Telaga Suriram yang di adakan di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur, pada Khamis.

Meskipun sedih namun Abil bersyukur dek kerana diberikan kesempatan untuk memeluk susuk ayahnya itu sekaligus bersalaman dan bermaafaan memandangkan mereka sudah lama tidak berjumpa.
“Pertemuan itu walaupun sekejap tapi terlerailah rindu. Lagipun kita dah lama tak jumpa, kita jumpa pun unexpected. Kita seronok tapi jadi saya nervous. Lagipun saya tidak tahu Papa ada disitu.
“Tapi dapatlah salam Hari Raya, minta maaf dan memang niat saya untuk berjumpanya sebelum Raya sebab tak jumpa memandangkan masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing.
“Alhamdulillah, Allah pertemukan kami. Saya bagitahu Papa yang saya sangat sayangkan dia,” jelasnya.
Sementara itu, Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2022 ini menjelaskan, dia sudah penat untuk berusaha memperbetulkan masalah keluarga mereka dan kini hanya menjalani kehidupan dengan tenang.
“Untuk fix the problem tu saya terima sahaja apa yang ada. Nak fix the problem tu saya sudah letih dan tak apalah.
“Saya lalui sahaja apa yang ada dekat depan mata. Cuma it’s just never ending story.
“Saya akan sentiasa mendoakan Papa bahagia, macam mana dia doakan saya saya sentiasa doakan dia semoga dia panjang umur, semoga dia sihat selalu dan dia tahu yang saya sayangkan dia sangat.
“Saya tahu dia sentiasa doakan saya setiap masa. Saya cuma harap satu hari nanti, kita akan bersama mungkin disini atau mungkin di kehidupan lainnya,”ujarnya.

Terdahulu, perkongsian Nabila Huda menerusi platfrom Threads miliknya menyorot perhatian ramai yang rata-ratanya terkesan melihat momen anak beranak itu berpelukan.



