Tak pulang duit, British Airways didenda RM5 juta

Tak pulang duit, British Airways didenda RM5 juta

Washington: Amerika Syarikat (AS) mendenda British Airways sebanyak AS$1.1 juta (kira-kira RM5.05 juta) atas dakwaan gagal membayar semula bayaran tiket penerbangan yang dibatalkan semasa pandemik Covid-19.

Jabatan Pengangkutan AS berkata, dalam dokumen undang-undang, syarikat penerbangan itu tidak memberikan bayaran balik tepat pada masanya kepada penumpang untuk penerbangan tertangguh atau dijadualkan semula pada 2020.

Katanya, denda itu boleh dijadikan pengajaran supaya mana-mana pihak tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.

“British Airways dikenakan hanya di bawah penalti iaitu 500,000 pound sterling (RM2,872,873.02) kerana pada 2020 dan 2021, mereka sudah membayar lebih AS$40 juta (RM183.74 juta) bayaran balik kepada pelanggan untuk tiket yang tidak boleh dikembalikan,” katanya.

Menurut jabatan itu, laman web British Airways mengarahkan pengguna menghubungi syarikat penerbangan melalui telefon untuk membincangkan pilihan bayaran balik termasuk untuk penerbangan dibatalkan atau dijadualkan semula dari Mac hingga November 2020.

“Bagaimanapun, pengguna tidak dapat menghubungi ejen perkhidmatan pelanggan apabila menghubungi syarikat penerbangan itu sepanjang tempoh ini kerana kerana talian telefon perkhidmatan pelanggan yang tidak mencukupi.

“Pada masa sama, tiada cara bagi menyerahkan permintaan bayaran balik melalui laman web syarikat itu.

“Selain itu, sepanjang tempoh sama, British Airways meletakkan maklumat mengelirukan di laman webnya yang menyebabkan pengguna secara tidak sengaja meminta baucar perjalanan dan bukannya bayaran balik,” katanya.

Kata jabatan itu, pihaknya menerima lebih 1,200 aduan sejak Mac 2020 yang mendakwa British Airways gagal memberikan bayaran balik tepat pada masanya, selepas membatalkan atau menukar penerbangan pengguna dengan ketara untuk perjalanan ke destinasi atau dari AS.

Sementara itu, British Airways berkata, pihaknya bertindak mengikut undang-undang pada setiap masa selepas dikenakan denda itu semalam serta menyangkal dakwaan itu.

Katanya, pihaknya amat kesal kerana pada kemuncak Covid-19, terpaksa membatalkan ribuan penerbangan dan menutup beberapa pusat panggilan kerana sekatan kerajaan.

“Ia menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lebih lama untuk bercakap dengan pegawai perkhidmatan pelanggan.

“Dalam tempoh ini, kami bertindak secara sah pada setiap masa dan menawarkan pelanggan kelonggaran untuk menempah semula perjalanan pada tarikh berbeza atau menuntut bayaran balik jika penerbangan mereka dibatalkan.

“Sehingga kini, kami mengeluarkan lebih lima juta bayaran balik sejak permulaan wabak itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd