Tak rayu pemberian 40 peratus hasil tunjukkan PM faham harapan, aspirasi rakyat Sabah – Hajiji

Tak rayu pemberian 40 peratus hasil tunjukkan PM faham harapan, aspirasi rakyat Sabah – Hajiji

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Persekutuan atas keputusan bersejarah untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu menunjukkan Perdana Menteri memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.

Menurutnya, ia turut mencerminkan komitmen tulen beliau untuk menegakkan apa yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam pertemuan dan perbincangan dengan Perdana Menteri, saya menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.

“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, menghormati keputusan mahkamah adalah langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, ini khususnya di kawasan luar bandar yang mana infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas masih ketinggalan.

“Rakyat Sabah sudah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi GRS itu turut menyeru rakyat negeri ini agar terus menyokong kepimpinan Anwar.

Hari ini, media melaporkan kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berkata susulan keputusan dibuat petang tadi, kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top