Sistem pendaftaran keahlian dalam talian United Malays National Organisation (UMNO) mencatatkan sambutan luar biasa apabila seramai 3,716 ahli baharu direkodkan dalam tempoh kurang 24 jam sejak dilancarkan.
Golongan muda mendominasi
Menerusi perkongsian Facebook Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau menunjukkan golongan pemuda mendominasi pendaftaran dengan 2,413 orang atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Kategori ahli biasa pula mencatatkan 818 orang (22 peratus), diikuti Wanita seramai 248 orang (7 peratus) dan Puteri sebanyak 237 orang (6 peratus).
Beri gambaran jelas tentang minat anak muda dalam politik
Perkembangan ini sekali gus memberi gambaran jelas bahawa minat generasi muda terhadap politik masih tinggi.
Menurut Asyraf Wajdi, beliau sendiri meneliti dan meluluskan setiap permohonan yang diterima sebaik sahaja sistem itu mula digunakan.
“Balik dari masjid pagi ini, saya semak sistem dashboard keahlian UMNO dan ambil masa untuk perhalusi serta meluluskan setiap permohonan.
“Letih juga tapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tak sampai 24 jam sistem baru pendaftaran online dimuat naik, sudah 3,716 ahli baharu yang majoritinya di kalangan anak muda mendaftar,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian bagi memudahkan kemasukan ahli baharu, khususnya dalam kalangan anak muda.
Jelasnya lagi, keputusan tersebut dibuat selepas tinjauan oleh Pemuda dan Puteri UMNO dalam tempoh dua minggu di media sosial mendapati kira-kira 2,800 golongan muda menunjukkan minat untuk menyertai parti itu.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada semua yang memilih untuk bersama UMNO, sambil menyifatkan perkembangan tersebut sebagai petanda positif terhadap kebangkitan minat generasi muda dalam arena politik.
“Terima kasih kepada semua kerana sudi bersama dalam perjuangan ini,” katanya.

Sumber: Facebook Asyraf Wajdi




