surayaroslan@mediaprima.com.my
Bangi: “Kalau saya give up (putus asa), siapa akan jaga ibu bapa, disebabkan itu saya tidak boleh sedih dan perlu kuat walaupun menghidap kanser,” ujar Zal Hasmi Mohamad Roslan, 25, penerima Anugerah Tun Abdul Razak sempena Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52.
Anak tunggal itu disahkan menghidap kanser darah tahap empat ketika berusia 15 tahun.
“Selepas mengetahui saya menghidap kanser, saya rasakan dunia gelap dan tahu ia penamat hidup.
“Bagaimanapun, saya sembunyikan perasaan selepas melihat mak saya menangis. Ini membuatkan saya perlu kuat sebagai satu-satunya anak mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di sini, tadi,
Zal Hasmi antara 11,010 graduan sempena Majlis Konvokesyen UKM ke-52 bermula semalam hingga 1 Disember ini.
Majis konvokesyen yang diadakan dalam 15 sidang itu meraikan 4,409 graduan Ijazah Sarjana Muda, 2,549 Ijazah Sarjana, 469 Ijazah Doktor Falsafah, 3,393 Diploma Pascasiswazah dan 190 Doktor Pakar.
Zal Hasmi yang juga graduan Sarjana Muda Sains Sekitaran itu memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.96 itu bersyukur masih diberikan peluang kedua untuk hidup dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Selepas menjalani 14 kali rawatan kemoterapi dan radioterapi, saya semakin sembuh dan inilah penyebab saya bangkit serta perlu melakukan sesuatu.
“Saya belajar bangkit dan berjaya menamatkan pelajaran, ini juga hadiah saya buat bapa yang bekerja sebagai pemandu teksi dan ibu seorang kerani,” katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan, Mohamad Imran Mohd Tarmizi, 23, yang dilahirkan kerdil menjadikan kekurangan diri sebagai kekuatan untuk bangkit dan terus berjaya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui dirinya kerap dibuli ketika di sekolah.
“Saya pernah bertanya kepada ibu kenapa saya dilahirkan lain daripada orang lain, namun ibu mengatakan saya adalah rezeki dari Tuhan, saya kena tabah dan terima kekurangan ini.
“Walaupun ada perasaan tidak yakin dengan diri ini, tapi saya cuba bergaul macam biasa dengan orang lain.
“Alhamdulillah, di UKM saya diterima baik oleh semua dan ini membuatkan saya bersemangat untuk menghabiskan pelajaran,” kata graduan Sains Aktuari yang memperoleh CGPA 3.48,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




