redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengalaman bermain kompang selama sejam tanpa henti dan sehingga alat itu pecah antara kenangan tidak dapat dilupakan pemuda ini sejak aktif sebagai pemain seni muzik tradisional itu kira-kira 16 tahun lalu.
Sehingga kini, minat Mohd Afiq Said Abdullah, 28, tidak pernah pudar dan buktinya, dia masih aktif bermain kompang pada hujung minggu walaupun sibuk dengan kerja hakikinya.
Baru-baru ini, video Mohd Afiq bermain kompang dalam satu acara di ibu negara yang tular di media sosial dengan rata-rata warganet terutama dalam kalangan gadis tertarik melihat ketampanannya.
Berkongsi kisahnya, Mohd Afiq berkata, keinginan bermain kompang masih ada bukan kerana dia mendapat bayaran setiap kali membuat persembahan.
Sebaliknya, Mohd Afiq terus bermain kerana mahu meneruskan permainan tradisional itu dan mengambil masa sebulan untuk mahir memukul kompang dengan teknik betul ketika awal pembabitannya dulu.
“Saya bermain kompang sejak berusia 12 tahun selepas menyertai Kumpulan Kompang Melayu Shah Alam Seksyen 24 dan sampai sekarang masih dengan kumpulan yang sama.
“Kiranya sejak sekolah rendah lagi dan saya dengan kumpulan kompang pernah dapat undangan buat persembahan di pelbagai acara, kebiasaannya kenduri kahwin.
“Pernah dapat undangan sampai ke Tangkak, Johor dan satu lagi kenangan tak dapat saya lupakan adalah kami sewa van kemudian naik beramai-ramai untuk ke lokasi majlis ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohd Afiq berkata, kompang adalah permainan berpasukan jadi perlu kerap berlatih bagi memastikan bunyi paluan dihasilkan seirama dan tidak sumbang.
Katanya, dia sendiri masih berlatih walaupun sudah lama bermain cuma tidak dapat mengikuti semua sesi latihan kerana terikat dengan komitmen kerja yang bersyif.
“Ikutkan latihan seminggu sekali iaitu setiap malam Rabu cuma saya yang jarang hadir kerana ada masanya ia (latihan) berselisih dengan jadual kerja.
“Alhamdulillah, kami sering dapat undangan dan difahamkan, jadual persembahan sudah ada sampai tahun depan.
“Nampak di situ yang permainan itu masih relevan dan saya harap lebih ramai generasi sekarang belajar bermain kompang kerana kita memang cari pemain pelapis bagi meneruskan seni warisan tradisional,” katanya yang tidak sangka videonya bermain kompang tular di media sosial.
Di samping kompang, Mohd Afiq berkata, dia turut aktif dalam bidang kecergasan sejak 2015 malah pernah menyertai beberapa kejohanan badan cantik.
Katanya, dia belajar mencari ilmu mengenai bidang kecergasan dengan menonton video di YouTube selain mendapatkan bimbingan daripada mereka yang lebih berpengalaman.
“Waktu mula aktif dulu, saya sudah bertekad nak ada badan yang cantik sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
“Apabila nampak hasilnya, memang puas hati kerana tak mudah memandangkan perlu buat rutin sena dan disiplin jaga makan.
“Disebabkan nak cari pengalaman, saya cuba sertai beberapa kejohanan dan pernah bergelar juara dalam Mr Angsana 2022 serta tersenarai dalam kelompok lima terbaik.
“Penyertaan terbaru saya adalah dalam Mr Kuala Lumpur 2025 dan Mr Angsana di Johor Bahru, Johor pada November nanti,” katanya yang berpengalaman sebagai jurulatih kecergasan sambilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




