Tak sangka PERKESO bertindak pantas, pencen arwah banyak membantu

KUALA LUMPUR – “Sekurang-kurang bantuan ini berpanjang kerana ia merupakan pencen yang kekal.”

Itu luahan Intan Ismail, 46, balu kepada jurulatih penjaga gol Piala Presiden KL City, Mohamad Hanim Tahir yang meninggal dunia kerana serangan jantung pdas 18 Mac lalu, sebaik menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediamannya di Cheras di sini.

Allahyarham yang ketika hayatnya pernah beraksi dengan pasukan Kuala Lumpur, menerima pencen bulanan di bawah Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,900 dan sumbangan RM2,000 bagi Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Sumbangan itu diserahkan Pengarah PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mustafa Draman kepada Intan sambil disaksikan dua daripada tiga anak pasangan itu, berusia antara 20 dan 22 tahun.

Turut hadir pada majlis itu, Kuala Lumpur United Sdn. Bhd, Stanley Bernard dan rakan-rakan arwah yang juga bekas pemain Kuala Lumpur pada era 1980an, Datuk Subadron Aziz dan Datuk Ramlan Askolani.

Balu, Intan Ismail bercakap dengan media selepas Majlis Penyampaian Faedah PERKESO kepada kepada waris Mohd Hanim Tahir yang merupakan bekas penjaga gol Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2021.

Intan berkata, beliau tidak menyangka PERKESO bertindak pantas berikutan suaminya meninggal dunia tidak sampai sebulan yang lalu.

“Saya mewakili keluarga arwah mengucap terima kasih kepada PERKESO yang membantu dari awal hingga datang ke rumah dengan mengambil dokumen sampailah ke hari ini.

“Saya berbesar hati dan sebenar perkara (caruman) ini kita tidak sedar dan tidak tahu walaupun kita ada banyak penyakit dan sudah tidak bekerja namun masih layak mendapat bantuan PERKESO.

“Saya pun baru tahu dan masih boleh dapat bantuan walaupun sudah lama tidak bekeja dan bekerja sendiri namun masih boleh menuntut dan mendapat manfaat,” katanya.

Intan memberitahu, arwah suami sebelum ini sedang menunggu mendapatkan bantuan rawatan  dialisis buah pinggang daripada PERKESO namun tidak sempat diteruskan kerana dijemput Ilahi lebih awal.

“Alhamdulilllah walaupun tidak sempat mendapat bantuan rawatan itu ia diukar kepada pencen. Apatah lagi saya bekerja sendiri dan pencen ini banyak membantu kerana kita tidak tahu sampai bila boleh bekerja.

“Sekurang-kurang saya mendapat bantuan yang panjang kerana ia merupakan pencen tetap walaupun bukan bekerja kerajaan,” katanya yang memiliki tiga anak yang masih menuntut dalam pengajian diploma dan sarjana muda.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Lumpur, Mustafa Draman bercakap dengan media selepas Majlis Penyampaian Faedah PERKESO kepada waris arwah Mohd Hanim Tahir yang merupakan bekas penjaga gol Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2021.

Sementara itu, Mustafa menasihati atlet sukan di negara ini agar mencarum dengan PERKESO walaupun bernaung di bawah persatuan sukan atau majikan.

Jelas beliau, mereka sepatutnya wajib mencarum di dalam syer pekerja dan majikan di mana apabila syer itu digabungkan ia akan memberi kelayakan mendapat faedah yang disediakan.

“Dalam isu kita agak dukacita kerana terdapat segelintir persatuan sukan yang memandang dingin kepada kewajipan ini seolah-olah merasakan tidak mengapa.

“Atau ahli sukan hidup mewah dan boleh menampung kemudaratan atau kematian tetapi kena sedar tidak semua begitu,” katanya. – MalaysiaGazette