am@hmetro.com.my
Muar: Lelaki warga asing ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Padang, Bukit Bakri di sini, malam tadi.
Warga Myanmar, Hein Htet, 26, maut selepas terperangkap dalam kebakaran berlaku pada jam 8.28 malam.
Komander Operasi, Baharuddin Ab Rahman berkata, mangsa dipercayai tidak sempat keluar menyelamatkan diri berikutan api merebak dengan cepat.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 10 minit selepas kejadian.
“Operasi membabitkan 17 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh bersama tiga jentera, dua Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta jentera ‘water tanker’ digunakan untuk membantu memadam kebakaran,” katanya.
Katanya, setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar dan api memusnahkan kira-kira 90 peratus keseluruhan struktur.
“Kebakaran dikawal sepenuhnya jam 8.50 malam dan operasi pemadaman tamat pada jam 10.57 malam.
“Kami masih menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian dialami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




