am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Beberapa pengusaha tanaman jagung di Kampung Jelutar Temalir di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila tanaman diusahakan mereka musnah akibat banjir, baru-baru ini.
Menurut Siti Zubaidah Che Mahmud, 39, hujan lebat pada 27 November lalu menyebabkan paras air Sungai Temalir naik secara mendadak sehingga kebun jagungnya seluas 0.8 hektar yang terletak berhampiran dengan pinggir sungai ditenggelami banjir lebih dua meter (m).
Katanya, tanaman jagung yang mula ditanamnya pada akhir September lalu tidak dapat dipetik mengikut jadual mengakibatkan dia mengalami kerugian.
“Saya tidak menjangkakan banjir gelombang pertama baru-baru ini seakan bah kuning pada 2014 dan hanya berputih mata apabila kesemua tanaman jagung musnah dalam sekelip mata.
“Apabila banjir surut, saya berasa sedih melihat semua pokok jagung menjadi kering dan mati. Bukan saya sahaja yang tidak sempat mengutip hasil tanaman jagung tetapi pengusaha tanaman jagung yang lain turut mengalami nasib sama,” katanya ketika ditemui di kebun jagungnya di Kampung Jelutar Temalir di sini, semalam.
Katanya, impiannya untuk meraih pendapatan lumayan tidak menjadi kenyataan dan ini bukan kali pertama kawasan kebun yang diusahakan sejak lebih lima tahun lalu ditenggelami banjir.
“Bagaimanapun, saya reda kerana pokok ini mati disebabkan bencana alam dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT,” katanya.
Siti Zubaidah berkata, sebagai petani dia terpaksa menghadapi risiko kerugian akibat bencana alam mahupun penyakit atau serangan ulat.
“Pada awal tahun berdepan dengan musim kemarau dan pertengahan tahun serangan ulat manakala akhir tahun pula bencana banjir dan penyakit hawar,” katanya.
Katanya, dia akan menanam semula tanaman jagung pada bulan Februari atau Mac, sebaik musim tengkujuh berakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd



