am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang warga Bangladesh bertindak nekad terjun ke laut dan berenang sejauh hampir lima kilometer kerana terkejut dengan kehadiran pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tapak pembinaan di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Buruh binaan terbabit, Sheikh Sharif, 25, dilaporkan terjun ke laut kira-kira jam 9.30 pagi, untuk mengelak pemeriksaan pegawai JIM yang melakukan operasi di tapak pembinaan tempat dia bekerja.
Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, lelaki terbabit dilaporkan hilang ketika berenang di laut.
Menurutnya, bomba menerima laporan buruh binaan dilaporkan hilang di laut dan dikhuatiri lemas pada jam 9.35 pagi.
Katanya, sejurus mendapat laporan, 20 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi kali terakhir buruh binaan terbabit dilihat.
“Operasi pencarian di permukaan air dilakukan di sekitar lokasi buruh binaan itu dilaporkan hilang hingga persisiran pantai Tanjung Lumpur.
“Kira-kira jam 5.45 petang wakil syarikat pembinaan tempat lelaki itu bekerja memaklumkan buruh binaan itu sudah pulang dengan selamat ke rumah kongsi di tapak projek berkenaan.
“Pihak pemaju turut mengesahkan lelaki itu adalah individu sama dilaporkan terjun ke laut ketika pemeriksaan pegawai JIM di tapak projek pembinaan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Hilmi Kashfi berkata, berdasarkan keterangan lelaki terbabit mengaku terjun ke laut kerana terkejut dengan kehadiran pegawai imigresen yang melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan.
Menurutnya, pihak syarikat pembinaan turut mengesahkan buruh terbabit mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
“Lelaki itu mengaku terkejut dan takut ditangkap menyebabkan dia terjun ke laut.
“Dia berenang ke Pantai Tembeling serta bersembunyi di kawasan hutan berhampiran kawasan pantai di situ.
“Selepas beberapa jam bersembunyi dia berenang semula ke Tanjung Api dan menyeberangi muara Sungai Kuantan untuk pulang ke rumah kongsi di Tanjung Lumpur,” katanya.
Mohd Hilmi Kashfi berkata, warga Bangladesh terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




