Pelakon dan pengarah, Tam Suhaimi berpendapat sesebuah karya seni tidak perlu bersandar kepada babak panas semata-mata untuk menarik perhatian penonton.
Ketika ditemui, Tam atau nama sebenarnya, Nor Azemi Suhaimi, 46, berkata kekuatan sebenar sesebuah naskhah terletak pada jalan cerita yang segar dan mesej yang mahu diketengahkan, bukannya adegan melampau seperti ciuman atau aksi ranjang.
“Kalau sesebuah karya terpaksa diselitkan babak sensasi untuk dipandang orang, itu tandanya kita sendiri tidak percaya dengan kekuatan cerita tersebut.
“Bagi saya, pengkarya kena lebih bijak. Tak perlu mudah-mudah selitkan babak panas hanya untuk gimik. Percayalah pada skrip dan mesej kerana itu yang akan beri kesan kepada penonton,” katanya.
Tam berkat demikian ketika ditemui pada acara Viu Royal Night di W Factory, Shah Alam, baru-baru ini.
Tam turut menegaskan, dia tidak mahu dilabel sebagai pengarah kontroversi, sebaliknya mahu dikenang kerana hasil kerja yang bermutu.
“Sejak mula melibatkan diri dalam seni, saya jarang terbabit dengan kontroversi dan memang tak mahu dikenali sebab perkara sebegitu.
“Lebih baik dikenali dengan karya yang berkualiti daripada viral dengan benda yang tak elok,” ujarnya.




