Tambah umpan ayam 'pujuk' buaya baham remaja di Daro

Tambah umpan ayam 'pujuk' buaya baham remaja di Daro

mdroji@bh.com.my

Kuching: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa serangan buaya di Sungai Kelai, Daro memasang perangkap untuk menangkap reptilia itu selepas empat hari operasi gagal menemui mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tiga perangkap dengan umpan ayam dipasang semalam, namun tidak diusik reptilia berkenaan.

Berikutan itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) memasang empat lagi perangkap di lokasi berbeza, hari ini.

“Selain memasang perangkap, pasukan SAR membuat pencarian di permukaan bagi mengesan mangsa,” katanya.

Operasi SAR dijalankan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), SFC, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Sarawak Coastguard dan penduduk kampung.

Sabtu lalu, remaja lelaki Agustine Fernando Nyalong, 14, disambar buaya di Sungai Kelai, Pulau Bruit, Daro di Mukah, ketika dia bersama beberapa rakan sedang menjala udang berhampiran jeti di Rumah Panjang Jingga.

Bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daro pada jam 5.46 petang, Sabtu lalu sebelum operasi SAR diaktifkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top