Tambahan 4 minit waktu solat Isyak, Mufti Pahang tak salahkan mana-mana pihak

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUANTAN – Jabatan Mufti Negeri Pahang tidak menyalahkan mana-mana pihak ekoran perubahan tambahan empat minit bagi waktu solat Isyak di negeri itu baru-baru ini.

Muftinya, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, keputusan jadual waktu solat sebelum itu diselaraskan dan disahkan melalui Mesyuarat Falak Kebangsaan yang dipengerusikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kesilapan ini tidak disengajakan bahawa proses penyediaan waktu solat ini proses yang diselaraskan Jabatan Mufti Negeri Pahang dan falak.

“Data sebenar ialah 18 darjah, bermakna kesilapan menerima data ialah 17 darjah dan bermakna tidak cukup satu darjah, terpaksa menambahkan satu darjah itu dengan nilai satu minit.

“Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi hanya mengikut data yang diterima,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berlakunya penambahan empat minit pada waktu solat Isyak sebelum ini seperti hebahan  menerusi kenyataan Jabatan Mufti Negeri Pahang pada 15 Mac lalu.

Abdul Rahman memberitahu,  tambahan waktu itu selepas mengesan kesalahan pada janaan data waktu solat Isyak yang diterima menerusi pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Kesilapan teknikal berlaku apabila meletakkan default 17 darjah sudut matahari di bawah ufuk oleh pemproses data solat bagi negeri Pahang.

“Saya mengharapkan semua masjid dan individu yang melihat jadual yang telah diedarkan, maka tambahlah empat minit dari jadual asal,” katanya.- MalaysiaGazette