yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pura-pura pesan makanan sebelum tampal kod QR milik sendiri di kaunter bayaran. Itu taktik seorang lelaki yang cuba mengaut untung mudah dengan menjadikan restoran di sekitar Lembah Klang sebagai sasaran.
Dalam kejadian di sebuah restoran di Lembah Klang kelmarin, lelaki berkenaan mensasarkan premis milik Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak di ibu negara.
Mohamed Mosin berkata, ketika kejadian, lelaki berkenaan masuk ke restorannya dan memesan tiga bungkus nasi lemak.
“Ketika petugas restoran sibuk menyediakan pesanan, lelaki itu kemudian mengeluarkan kod QR dan menampalnya di kaunter bayaran.
“Dia kemudian memberi alasan untuk mengambil wang di kereta yang terletak di luar sebelum terus beredar.
“Kejadian hanya disedari apabila ada pelanggan lain yang membuat bayaran, namun ia tidak masuk ke akaun restoran. Bila diperiksa, barulah pekerja saya dapati, kod QR lain ditampal pada kaunter,” katanya yang turut membuat aduan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, mujur kejadian itu disedari awal kerana ia mungkin membabitkan jumlah yang besar jika dibiarkan lebih lama.
“Dia sempat dapat RM6.60. Saya difahamkan lelaki itu juga menggunakan taktik sama di sebuah premis di Rawang sehari sebelum itu.
“Bayangkan jika dia letak kod QR sendiri di berpuluh kedai, berapa banyak yang dia dapat. Saya harap pemilik premis atau pengusaha restoran peka dengan keadaan ini bagi mengelak perkara yang tidak diingini,” katanya.
Sebelum ini katanya, PRESMA menerima maklumat mengenai ada pelanggan menggunakan resit lama sebagai bukti pembayaran secara atas talian yang mengaburi mata petugas di kaunter.
Katanya, ketika operasi di waktu puncak, petugas tidak sedar resit yang ditunjukkan itu adalah palsu atau sudah digunakan di kedai lain, menyebabkan mereka beranggapan bayaran sudah dibuat.
“Ini antara cabaran pengusaha restoran hari ini. Kita ke arah digitalisasi sepenuhnya, tapi ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang untuk menipu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
