Dalam dunia yang sarat dengan luka lama dan rahsia yang belum terungkai, peluang untuk mencintai sekali lagi bukan sekadar harapan, malah satu risiko besar yang mampu mengubah kehidupan.
Drama terbaharu Cinta Kedua tampil sebagai naskhah Tonton Eksklusif yang bakal menyentuh emosi penonton bermula 20 April 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 12 tengah malam.
Diarahkan oleh Idora dengan skrip hasil nukilan Siti Solehah, Ramlah Rashid dan Eja Lorena, drama ini menampilkan barisan pelakon utama seperti Raden Zaharatul, Hafidz Roshdi dan Syarul Ezani.
Cinta Kedua mengisahkan perjalanan hidup Bella Ammara lakonan Raden Zaharatul yang terpaksa melalui perceraian talak tiga selepas menjadi mangsa fitnah ibu mentua sendiri. Dalam keadaan terluka, Ammara bangkit untuk membina semula kehidupannya.
Namun, takdir menemukan Ammara dengan Daniel Rizki lakonan Hafidz Roshdi, seorang lelaki yang hampir menjadi cinta sejatinya. Walaupun hubungan itu tidak kekal lama dan mereka berpisah selama dua tahun, perasaan yang masih tersimpan akhirnya menyatukan kembali dua hati tersebut.

Cinta yang kembali berputik membawa kepada perkahwinan, namun Ammara tidak mengetahui satu rahsia besar yang mampu meruntuhkan segalanya. Rizki sebenarnya mempunyai kaitan dengan Afiq Adam lakonan Syarul Ezani, selain menjadi ‘cina buta’ yang telah diatur untuknya.
Menurut pihak produksi, naskhah ini cuba membawa kisah yang dekat dengan realiti, sarat dengan konflik emosi serta dilema yang menguji kekuatan hubungan.
“Cerita ini bukan sekadar kisah cinta biasa. Ia mengangkat perjalanan seorang wanita yang diuji dengan pengkhianatan dan kemudian dipertemukan dengan cinta, tetapi dalam masa sama terperangkap dalam rahsia yang boleh memusnahkan segalanya,” katanya.
Tambahnya, setiap episod dibina dengan elemen emosi yang kuat supaya penonton dapat merasai perjalanan watak secara mendalam.
“Kami mahu penonton ikut sama rasa setiap konflik dan keputusan yang perlu dibuat oleh watak. Dalam setiap hubungan, ada kebenaran yang kadangkala sukar diterima,” jelasnya.
Sepanjang 28 episod, penonton akan dibawa menyelami kisah seorang wanita yang diuji dari pelbagai sudut kehidupan, termasuk pengkhianatan, cinta dan kebenaran yang pahit.
Menguatkan lagi emosi penceritaan, lagu runut bunyi berjudul Renjana nyanyian Kechik Hyper Act turut melengkapkan setiap babak dengan suasana yang lebih menyentuh jiwa.
Cinta Kedua bersiaran dari 20 April hingga 27 Mei 2026 secara eksklusif di Tonton.




