Tanah mendap jejaskan empat rumah

Tanah mendap jejaskan empat rumah

am@hmetro.com.my

Batu Gajah: Empat kediaman di Taman Teja, Tanjung Tualang, di sini rosak akibat tanah mendap susulan hujan lebat, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian menerima panggilan kecemasan pada 7.18 malam.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera.

“Mendapan tanah yang berlaku di bahagian hadapan empat rumah dipercayai akibat hujan lebat.

“Dua daripadanya mengalami kerosakan di bahagian garaj, manakala dua lagi terjejas pada bahagian tepi dan hadapan rumah,” katanya.

Sabarodzi berkata, tiga mangsa berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku dan sudah dinasihatkan untuk berpindah ke rumah saudara buat sementara waktu demi keselamatan.

“Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan seorang wanita dewasa di dalam dua rumah, sementara dua kediaman lagi tidak berpenghuni.

“Selepas pemantauan terhadap struktur kediaman dan memastikan semua mangsa berada di tempat selamat, operasi diserahkan pada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memaklumkan operasi ditamatkan pada 9.19 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top