Tanah runtuh Papar: 2 maut, seorang gagal ditemui

Tanah runtuh Papar: 2 maut, seorang gagal ditemui

am@hmetro.com.my

Papar: Dua maut manakala seorang lagi masih hilang selepas rumah mereka tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui tertimbus dalam runtuhan, manakala pencarian seorang lagi mangsa giat dijalankan dan masih belum ditemui setakat 5 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pasukan seramai 16 anggota termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama jentera dan EMRS bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 9.20 pagi.

“Sebaik tiba, didapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang dihuni tiga orang dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa yang berjaya ditemui disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan identiti mereka masih belum diketahui.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi mencari seorang lagi mangsa masih dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top