sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui beberapa kesilapan mudah dalam perlawanan menentang wakil China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping membuatkan mereka gagal mendapatkan mata pertama buat negara di suku akhir Piala Sudirman, hari ini.
Jelas Ee Wei, mereka turun dengan motivasi tinggi untuk memenangi perlawanan itu tetapi Yan Zhe-Dong Ping bermain dengan begitu baik sehingga membuatkan mereka sukar mengatasi permainan pantas yang ditampilkan oleh beregu nombor dua dunia itu.
Biarpun cuba memberikan tentangan sengit tetapi wakil tuan rumah itu tidak membenarkan perkara itu terjadi dan terpaksa akur tewas straight set 17-21, 17-21.
“Kesilapan mudah yang kita lakukan lebih banyak berbanding lawan dan mereka pun selalu memberi tekanan kepada kita. Jadi, perkara itu yang kita kena belajar lagi,”katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.
Selain itu, Ee Wei meluahkan kekecewaan kerana gagal mendapatkan mata penting buat negara.
“Kita minta maaf kerana tidak dapat berikan mata pertama. Kita harap kita boleh berusaha dan bangkit lagi,” katanya.
Sementara itu, Tang Jie juga bersetuju bahawa masih ada beberapa aspek yang perlu diatasi agar mereka dapat tampil dengan lebih kuat selepas ini.
“Kita dapat pengalaman yang baik dalam saingan Piala Sudirman ini, dan masih ada banyak yang perlu dibaiki terutama dalam kedudukan mata penting. Dari situ, baru boleh menang,” katanya.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei menjadi taruhan utama untuk menghidupkan peluang Malaysia ke pusingan seterusnya, tetapi ia tidak menjadi, sekali gus membolehkan China mencatatkan kemenangan mudah 3-0 untuk mara ke separuh akhir.
Pencapaian terbaik skuad negara adalah mara sebanyak tiga kali ke separuh akhir iaitu pada 2009, 2021 dan 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




