Tang Jie-Ee Wei fokus Masters China

Tang Jie-Ee Wei fokus Masters China

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Terbuka Hong Kong yang akan bermula Selasa depan selepas melihat keadaannya belum berada di tahap terbaik.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, beliau tidak mahu pemainnya menyertai pertandingan dalam keadaan kurang bersedia kerana itu berisiko untuk mendapatkan kecederaan.

Justeru, dengan masa yang ada, beliau akan merangka beberapa latihan intensif buat Tang Jie-Ee Wei mendapatkan kembali tahap kecergasan sekali gus bersedia untuk kejohanan akan datang.

“Untuk Terbuka Hong Kong, memang kita batal untuk menghantar Tang Jie-Ee Wei ke sana. Pada awalnya, mereka memang nak pergi tetapi kelmarin mereka cakap keadaan mereka agak kurang terutamanya Ee Wei.

“Kurang latihan juga menjadi punca. Kalau pergi ke sana, mungkin akan penat, jadi kita tarik diri disebabkan oleh kondisi dan fokus China (Masters),” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Tambahnya, beliau melihat ini juga adalah masa yang amat sesuai buat mereka mendapatkan kembali momentum yang dibina ketika di Kejohanan Dunia Paris minggu lalu bagi menghadapi dua pertandingan yang akan datang.

“Selepas layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF, kami akan meneliti semula kejohanan yang akan disertai dan mungkin akan lebih fokus kepada kejohanan bertaraf 750 dan 1000 sahaja dan pilih beberapa kejohanan Super 500.

“Kita akan sertai Masters China (16-21 September) dan Terbuka Korea (23-28 September),” katanya.

Semalam, Nova menyatakan bahawa mereka mempunyai banyak pilihan untuk memilih kejohanan dan tidak begitu memikirkan slot ke Jelajah Akhir kerana gandingan utama negara itu sudah mempunyai tiket hasil juara Kejohanan Dunia 2025.

Oleh itu, selain Masters China dan Terbuka Korea, antara kejohanan yang hampir pasti mereka menyertainya selepas ini adalah Terbuka Denmark (14-19 Oktober) dan Terbuka Perancis (21-26 Oktober).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top