Tang Jie-Ee Wei lakar sejarah muncul juara dunia!

Tang Jie-Ee Wei lakar sejarah muncul juara dunia!

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merealisasikan impian 34.2 juta rakyat Malaysia apabila berjaya muncul juara di Kejohanan Dunia dekat Paris, sebentar tadi.

Lebih membanggakan, kejayaan itu adalah yang pertama dalam karier mereka dan ia juga hadiah buat peminat di Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan 2025 hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Adidas Arena, Paris itu, Tang Jie-Ee Wei turun dengan misi mengejutkan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dan perkara itu dilakukan di dalam gelanggang dengan corak permainan yang begitu meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-14 dalam masa 39 minit.

Di awal set pertama, Tang Jie-Ee Wei bermula dengan cukup baik dan begitu agresif dengan pukulan deras serta bertahan dengan baik, sekali gus berjaya memerangkap lawan mereka untuk capai ke angka 21 terlebih dahulu.

Beregu nombor dua dunia, Zhen Bang-Ya Xin cuba kembali memperkemaskan rentak permainan dan tidak memberi ruang buat wakil negara itu mendapatkan mata mudah serta cuba mengheret permainan ke rubber set.

Namun begitu, beregu negara yang menduduki ranking keempat dunia tidak membenarkan perkara itu terjadi, sebaliknya mengekalkan momentum yang sudah dibina dengan cukup baik sejak di awal perlawanan untuk terus melebarkan kedudukan lebih selesa sebelum menutup permainan dengan mata kejuaraan 21-14.

Ia adalah final pertama Tang Jie-Ee Wei tahun ini di pentas Kejohanan Dunia dan mereka berjaya memahat nama dalam sejarah badminton Malaysia selaku pasangan pertama yang menang di pentas ini bagi acara campuran.

Kemenangan itu juga membolehkan wakil negara merapatkan rekod pertemuan kepada 2-3 dan kali terakhir menang ke atas Zhen Bang-Ya Xin adalah pada pertemuan pertama di Masters Orleans pada Julai 2023 lalu.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei adalah wakil kedua negara yang menyumbang pingat selepas kali terakhir dilakukan gandingan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty (gangsa) pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top