aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memohon maaf kepada penyokong kerana gagal merangkul kemenangan dalam aksi separuh akhir Terbuka Malaysia sebentar tadi.
Pada perlawanan separuh akhir kedua beregu campuran itu, Tang Jie-Ee Wei akur kepada kekuatan mental Feng Yan Zhe-Huang Dongping apabila tewas 19-21, 14-21 dalam tempoh 50 minit.
Tang Jie-Ee Wei berkata, mereka tetap berusaha untuk mengejar biarpun ketinggalan di set pertama dan kedua.
Malah Tang Jie menafikan sangkaan bahawa mereka berputus asa sehingga menyerahkan kemenangan kepada Feng Yan Zhe-Huang Dongping dari China biarpun mendahului di set pertama dan kedua.
“Kami cuba mencari idea yang boleh membantu kami menukar situasi perlawanan dan momentum, bukannya berputus asa.
“Perkara itu kami tidak mampu mengawalnya kalau mengatakan kami berputus asa, kami amat sedih kerana dalam gelanggang kami sudah berikan yang terbaik.
“Malah jika kalah sekalipun, kamilah orang yang paling sedih,” kata Tang Jie.
Sementara itu Ee Wei berkata, selepas mereka dipintas pasangan nombor satu dunia itu pada set pertama dan kedua, dia tetap memberi semangat kepada pasangannya, jangan lepaskan perlawanan kepada pemain lawan dan cuba untuk mengejar.
Kekalahan itu bermakna hasrat untuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil beregu campuran negara di final Terbuka Malaysia, tidak menjadi kenyataan selepas satu lagi pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut tewas kepada lawan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
© New Straits Times Press (M) Bhd