aida_adilah@Hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas pelbagai persoalan dan spekulasi mengenai masa depan mereka hangat diperkatakan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akhirnya memilih untuk kembali bersatu sebagai pasangan beregu campuran negara.
Perkembangan positif itu dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini yang mengesahkan beregu keempat dunia itu akan kembali bergandingan selepas memilih untuk membawa haluan masing-masing disebabkan perbezaan pendapat, bulan lalu.
Menerusi kenyataan itu, BAM memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada kedua-dua pemain berkenaan dan selepas perbincangan mendalam antara pasukan kejurulatihan serta pemain.
“Persatuan Badminton Malaysia mengumumkan Tang Jie dan Toh Ee Wei akan kembali meneruskan gandingan mereka dalam acara beregu campuran.
“Keputusan itu berikutan permintaan daripada kedua-dua pemain hasil perbincangan dibuat,” kata kenyataan BAM itu.
Meskipun kembali bergandingan, kedua-dua pemain itu masing-masing akan beraksi bersama Chan Wen Tse dan Loo Bing Kun buat seketika kerana nama mereka sudah didaftarkan dalam beberapa kejohanan akan datang.
Tang Jie-Ee Wei yang pernah mencapai ranking dunia tertinggi di kedudukan ketiga, akan kembali bergandingan bermula di Terbuka Singapura (27 Mei–1 Jun).
Mereka dijangka akan beraksi bersama dalam saingan Piala Sudirman di Xiamen, China, dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menyarankan kedua-dua pemain badminton negara itu menilai kembali keputusan untuk berpisah sekiranya ingin disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG).
Tang Jie-Ee Wei diumumkan 16 atlet disenaraikan di bawah program RTG yang menyediakan sokongan tambahan kepada atlet berpotensi untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) dan kejohanan antarabangsa utama lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd