Tangguh perjalanan hingga konflik di Sudan selesai – Wisma Putra

Tangguh perjalanan hingga konflik di Sudan selesai – Wisma Putra

am@hmetro.com.my

Sepang: Wisma Putra memberi ingatan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai perancangan melawat Sudan, diminta supaya menangguhkannya sehingga keadaan konflik di negara itu kembali pulih.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya juga memohon rakyat negara ini menyalurkan maklumat kepada kementerian sekiranya ada ahlj keluarga mereka yang masih berada di Sudan.

“Kita ingin nasihatkan rakyat Malaysia yang ingin atau ada perancangan melawat Sudan, hendaklah tangguh perjalanan sehingga keadaan kembali pulih.

“Begitu juga kita minta sekiranya ada mana-mana pihak atau rakyat Malaysia yang mengetahui masih ada ahli keluarga berada di sana, sila maklumkan kepada Wisma Putra supaya boleh bantu untuk cari mereka,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan 30 rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari negara konflik Sudan.

Zambry berkata, bagi rakyat Malaysia yang berkemungkinan masih ada di sana, Wisma Putra akan memantau perkembangan dan berusaha membawa mereka keluar dengan selamat.

“Itu komitmen kita, jika masih ada lagi rakyat kita di sana, namun setakat maklumat diberikan kedutaan, ini sahaja jumlah rakyat Malaysia yang ada dan kita bawa pulang kecuali dua rakyat kita di sana yang berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sana,” katanya.

Ditanya kenapa misi menyelamat tidak menggunakan aset tentera negara seperti misi di Kaherah, Mesir dan Libya sebelum ini, Zambry berkata, keadaan konflik yang berlaku di Sudan secara tiba-tiba.

“Kalau di Libya, kawasan peperangan berlaku di luar kawasan ibu kota, apa yang berlaku di Sudan, ia berlaku di ibu kota negara itu, jadi menyebabkan semua pihak terpinga-pinga, tak bersedia, ini menyebabkan kita (kerajaan) perlu ambil pendekatan terpantas supaya semua pihak dapat dikeluarkan.

“Kita menggunakan beberapa strategi dan pendekatan bagaimana hendak keluarkan, bukan hanya bergantung kepada satu pendekatan sahaja, kerana kita perlu teroka segala kemungkinan untuk bawa mereka keluar dari Khartoum,” katanya.

Beliau turut mengesahkan operasi khas membawa keluar rakyat Malaysia di Sudan selesai.

“Namun kita akan terus mengikuti perkembangan semasa di sana mengikuti perkembangan terkini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, urusan Kedutaan Malaysia di Sudan yang ditutup sementara akan dikendalikan dari Kaherah, Mesir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top