“DIA dibalut kain kafan, disolatkan di masjid membuatkan saya menangis teresak-esak.”
Demikian cerita pelakon, Zahirah Macwilson yang mengakui tidak mudah menghidupkan karakter Dahlia dalam drama popular, Good Boys Go To Heaven. Apa lagi antara pelakonnya, Zahirah merupakan satu-satunya bergelar ibu.
Sudah tentu, adegan menyayat hati membabitkan Ahyan, iaitu anaknya dalam drama tersebut menyentuh sanubari hingga mengganggu emosi pelakon berdarah kacukan Melayu-British ini.
Setiap kali emosinya berkecamuk, pelakon itu terus menghubungi anaknya, Isaac Raees, untuk meredakan perasaan. Beberapa kali dia berharap agar perkara buruk yang dipaparkan dalam itu tidak mendekati orang yang disayangi.
“Naluri keibuan sangat kuat dalam diri saya dan sebagai pelakon kalau boleh kita tak mahu bayangkan beberapa adegan, tapi saya terpaksa.
“Babak ‘post mortem’ dan beberapa adegan lain mengusik emosi saya. Tangisan yang tidak dibuat-buat atau terpaksa. Sama juga ketika adegan mengkafankan mayat, saya menangis teresak-esak.
“Selesai penggambaran, saya telefon anak saya untuk dengar suaranya. Penggambaran itu memberi kesan lebih-lebih lagi semasa menerima skrip. Tambah lagi bila dapat tahu cerita ini diinspirasikan daripada kisah nyata,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pelakon Curi Curi Cinta itu bagaimanapun maklum akan kritikan penonton yang kurang berpuas hati dengan persembahannya yang dikatakan tidak cukup menjiwai rasa kehilangan anak.
Tambah Zahirah, dia bukanlah mahu menafikan pendapat penonton namun sekadar menjelaskan bahawa Dahlia cuba menunjukkan setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk berdamai dengan kesedihan.
“Saya ada terbaca pertanyaan netizen yang mempersoalkan kenapa saya tidak menangis, nampak macam tidak kisah hadapi situasi anak hilang. Karakter ini cuba menunjukkan ada orang bersedih tanpa harus menangis.
“Bergantung kepada situasi, mentaliti, dan cara dia dibesarkan. Ada orang yang tidak nangis sekarang lebih-lebih lagi jika melihat kepada watak ini yang berhadapan keadaan dituduh menjadi suspek pembunuhan, suami dia juga dituduh perkara sama.
“Terlalu banyak perkara berlaku sampaikan dia tidak mempunyai masa untuk duduk dan meratapi kematian anaknya pada waktu itu.
“Cuma mungkin penonton hanya nampak satu cara meratapi kematian adalah dengan tangisan. Tapi kadangkala orang yang paling banyak diam adalah orang yang paling bergelut dengan emosi,” tambahnya.
SEBUAH KEMUNCULAN SEMULA YANG BERJAYA
Menerusi lapan episod, Good Boys Go To Heaven melabuhkan tirai dengan rekod tayangan mencecah lebih 58 juta, selain capaian media sosial sehingga 9.5 juta.
Pilihan Zahirah kembali ke dunia lakonan selepas hiatusnya dalam naskhah arahan Ariff Zulkarnain boleh dikatakan langkah kanan, permulaan baik untuk menata kembali kerjayanya.
“Saya berterima kasih kepada penonton yang menyokong sejak episod pertama, bermacam teori yang kaluar.
“Cuma penting juga untuk orang tahu walaupun ini semua hanya hiburan, situasi seperti gangguan seksual, penderaan berlaku, justeru ambil iktibar daripada cerita ini.
“Dahulu, perkara ini tidak dibincangkan dalam masyarakat kerana masih dianggap konservatif. Sekarang generasi kita sudah terbuka, jadi tidak boleh berpura-pura menganggap ianya tidak berlaku,” katanya.
Good Boys Go To Heaven diterajui penulis skrip Mira Mustaffa serta dibintangi Beto Kusyairi, Amerul Affendi, Sky Iskandar, Firdaus Karim, Malek McCrone, Amanda Ang, Mila Mohsin, Dai Fuad, Marzuki Noh, Zaleha Iman dan Sayf Mikael.




