Seludup warga Myanmar guna kereta BMW

Seludup warga Myanmar guna kereta BMW

am@hmetro.com.my

Lipis: Seorang lelaki tempatan ditahan sejurus kereta BMW dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Jalan Lipis – Merapoh, berhampiran Padang Tengku di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam berlaku apabila lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta dinaiki lima penumpang warga Myanmar cuba mengelak daripada ditahan anggota polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

“Ketika cuba melarikan diri, pemandunya terbabas dan melanggar tangki air di hadapan sebuah kedai makan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu bersama dua penumpang warga Myanmar mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan.

“Tiga lagi penumpang warga Myanmar membabitkan dua lelaki dan seorang wanita melarikan diri dari lokasi kejadian. Usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis atau balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top