Pulau Pinang 'hangatkan' temasya sukan Media Sabah-NPC

Pulau Pinang 'hangatkan' temasya sukan Media Sabah-NPC

Georgetown: Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) berjaya mempertahankan kejuaraan Sukan Muhibah Media Sabah-NPC selepas mencatatkan kemenangan keseluruhan 3-2 ke atas kontinjen Sabah dalam kejohanan yang berlangsung bermula 3 hingga 5 Julai lalu.

Edisi kedua kejohanan ini menyaksikan penganjuran sulung di Semenanjung Malaysia selepas edisi pengenalan diadakan di Kota Kinabalu pada tahun 2022 yang turut dimenangi oleh NPC.

Temasya kali ini dihoskan oleh Kelab Akhbar Pulau Pinang (PPC) dan mempertandingkan lima acara sukan utama iaitu pool, dart, badminton, boling, serta bola sepak.

Majlis perasmian disempurnakan bersama oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai; Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan; Pengerusi Kelab Media dan Komunikasi Kota Kinabalu, Christopher Bernard Maskilone; serta Presiden PPC, Ang Tong Kai.

Sesi pembukaan berlangsung di Kelab @MyTwentySix milik Edwin Francis Martin yang juga Pengerusi Persatuan Dart Pulau Pinang.

Kontinjen NPC memulakan saingan hari pertama dengan langkah kanan selepas mendahului 2-0 menerusi penguasaan dalam acara pool (15-6) dan dart (10-2).

Bagaimanapun, pasukan media Sabah bangkit pada hari kedua dengan mencatatkan kemenangan tipis 4-3 dalam acara badminton bagi merapatkan kedudukan kepada 2-1.

Persaingan sengit berterusan di Penang Bowl apabila NPC mengesahkan kejuaraan lebih awal selepas menewaskan Sabah 22-20 dalam acara boling, sekali gus mengumpul tiga mata mutlak yang tidak dapat dipotong.

Meskipun Sabah memenangi perlawanan terakhir bola sepak dengan keputusan 4-2, trofi pusingan kejohanan tetap kekal di Semenanjung dengan keputusan muktamad 3-2.

Kejohanan diakhiri dengan majlis makan tengah hari sempena penutupan rasmi di Hotel St Giles Wembley Penang pada Ahad, yang turut diserikan dengan persembahan muzik oleh RS Murthi dan kumpulan Bluesoids.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top