Taska GISBH tidak beroperasi sehingga kini

Taska GISBH tidak beroperasi sehingga kini

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah kendalian GISB Holdings (GISBH) masih tidak beroperasi sehingga kini.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

“Kita dimaklumkan tiada taska berkaitan GISBH tengah beroperasi sekarang ini. Kami dimaklumkan tiada (yang beroperasi).

“Kita selamatkan ramai kanak-kanak (dalam Op Global), ada setengahnya sudah dikembalikan semula kepada keluarga mereka.

“Setakat ini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada 13 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global ditempatkan di institusi bawah JKM.

“Kesemua mereka ini berumur 18 tahun ke bawah menjalani aktiviti berkaitan termasuk bersekolah seperti biasa pada 17 Februari lalu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Wanita peringkat Antarabangsa untuk Zon Selatan di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya Noraini berkata, remaja perempuan di negara ini berdepan risiko menghidap masalah kesihatan mental sehingga dua kali ganda berbanding remaja lelaki.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 merekodkan kira-kira 4.6 peratus atau satu juta remaja yang berusia 15 tahun ke atas di negara ini mengalami kemurungan.

“Data sama bagi tahun 2022 pula menunjukkan ‘prevalens’ atau kelaziman remaja yang memenuhkan kriteria kemurungan adalah lebih tinggi dalam kalangan perempuan berbanding lelaki iaitu 36.1 peratus berbanding 17.7 peratus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top