Melaka: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) setakat ini tidak menerima sebarang peletakan jawatan atau penarikan diri dua ahli majlisnya daripada DAP yang dilantik atas kuota parti politik itu.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata justeru, pelantikan berkenaan masih sah dan kedua-dua ahli majlis tersebut perlu menjalankan tugas mereka seperti biasa.
“Pada saya, isu politik dan pentadbiran adalah berbeza… jadi, kami tunggulah sekiranya ada permohonan peletakan jawatan atau penarikan diri sebagai ahli majlis, kami akan lihat dan pertimbangkan.
“Kami telah melantik mereka sebagai ahli majlis, kalau ada penarikan atau peletakan jawatan, kena datang daripada individu itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2026 di sini, hari ini.
Pada Selasa, media melaporkan DAP Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Keputusan itu diambil selepas Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dalam sidang media yang turut dihadiri empat ADUN DAP Allex Seah (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Dalam pengumuman itu, Khoo berkata, semua Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan negeri sebelum ini juga akan meletakkan jawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




