Taipei: Air tasik yang melimpah akibat hujan lebat dibawa Taufan Ragasa mengorbankan 17 orang, mencederakan 32 orang dan menyebabkan 17 hilang di Taiwan setakat 4 petang Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Kejadian itu berlaku pada petang Selasa di Daerah Hualien di timur pulau berkenaan.
Banjir daripada limpahan air tasik itu telah pun surut.
Kebanyakan mangsa ditemukan di Pekan Guangfu di Hualien, majoritinya warga emas. Kematian itu dipercayai berpunca daripada kelewatan pemindahan.
Sehingga tengah hari Rabu, lebih 5,000 orang telah dipindahkan dari Pekan Guangfu, Wanrong, Fenglin dan kawasan lain di Hualien. Sekitar 20 pusat pemindahan telah didirikan, kini menempatkan lebih 700 orang.
Seorang jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan di Majlis Negara pada Rabu menzahirkan rasa dukacita atas kematian mangsa tragedi limpahan air tasik itu serta menyampaikan takziah kepada keluarga dan mereka yang cedera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




