Tayar lori pecah di LPT2, dua beranak meninggal dunia

Tayar lori pecah di LPT2, dua beranak meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Dungun: Wanita dan anak maut, manakala suaminya parah selepas lori dinaiki mereka hilang kawalan dan terbalik di KM362.9, di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Plaza Tol Bukit Besi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Isnaini Mohd, 42, dan anaknya, Muhammad Al Amin Khairul Syahmi, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizurah Abdul Kadir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tiga tan dipandu suami Isnaini, Khairul Syahmi Mat Hassan, 49, hilang kawalan selepas tayar belakang pecah ketika dalam perjalanan dari Kuantan menghala Kuala Terengganu.

Katanya, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Manir selepas dikatakan selesai mengambil bekalan peralatan pendawaian elektrik.

“Akibat lori hilang kawalan, ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dengan Isnaini dan anaknya disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Khairul Syahmi pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Dungun (HD) untuk rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HD untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top