Teguh bersama! ATM junjung kasih sokongan TMJ terhadap institusi ketenteraan

Teguh bersama! ATM junjung kasih sokongan TMJ terhadap institusi ketenteraan

Angkatan Tentera Malaysia menjunjung kasih dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan atas titah Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan itu.

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM memaklumkan titah berkenaan mencerminkan sinergi strategik kukuh melibatkan Institusi Diraja, kerajaan negeri dan ATM termasuk kesediaan kerajaan Johor memberikan ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan.

Menurut kenyataan itu, latihan ketenteraan yang dijalankan menjadi nadi penting kepada kelangsungan kesiapsiagaan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

ATM turut menjunjung kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM, sekali gus disifatkan mampu melonjakkan moral warga perkhidmatan.

“Pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai.
“ATM ingin menegaskan bahawa ketumbukan ini sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan. Justeru, mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi.
“Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar adalah prasyarat wajib bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM sekali gus menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel lain: TMJ zahir dukacita, institusi ketenteraan diperguna demi populariti media sosial

Menurut ATM, pihaknya akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional selain kekal profesional dalam memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sentiasa menjadi keutamaan.

“ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail menyatakan pendirian baginda untuk terus berdiri teguh bersama ATM dan memberikan sokongan penuh kepada pasukan ketenteraan negara dalam apa jua keadaan.

Scroll to Top