Tekad Karim demi olahraga negara

Tekad Karim demi olahraga negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden baharu Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim bertekad menamatkan penantian ke separuh akhir Sukan Olimpik yang sudah berlarutan hampir lima dekad dengan menyasarkan pencapaian itu menerusi barisan atlet pada masa akan datang.

Jelas Karim, Malaysia pernah mencapai tahap itu, maka tidak mustahil untuk mengulangi pencapaian itu dan disebabkan itu, beliau akan memastikan program pembangunan dilaksanakan dengan lebih meluas bagi melahirkan pelari yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Justeru, bagi merealisasikan impian berkenaan, MA akan memperhebatkan program khas yang dinamakan ‘B10’, iaitu satu inisiatif untuk melahirkan pelari pecut yang mampu mencatat masa di bawah 10 saat (s), khususnya dalam acara 100 meter (m).

Tambahnya, kategori berpasukan seperti 4x100m adalah antara acara yang paling realistik untuk memecahkan dominasi sedia ada di peringkat Asia dan dunia sekiranya negara mempunyai pelari elit dengan catatan masa yang kompetitif.

“Sudah hampir 50 tahun kita tidak mempunyai atlet yang mara ke separuh akhir Olimpik. Saya mahu menamatkan penantian ini. Kita sasar bukan sahaja ke separuh akhir, malah ke pentas final, khususnya dalam acara 4x100m.

“Kita mahu sekurang-kurangnya dua atlet yang mampu berlari di bawah 10s, termasuk Muhammad Azeem Fahmi. Ini akan membuka peluang lebih besar dalam acara lari berganti-ganti dan memberikan kita ruang ke final Olimpik,” katanya dalam ucapan pertama selepas kembali menerajui MA bagi penggal 2025-2028, selepas memenangi pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, semalam.

Untuk rekod, antara atlet olahraga negara yang pernah mencapai tahap itu di temasya empat tahun sekali ialah Tan Sri Dr M Jegathesan dalam acara 200m pada Tokyo 1964 dan Mexico City 1968 serta Ishtiaq Mubarak dalam acara 110m lari berpagar di Montreal 1976.

Selepas itu, setiap kali wakil negara melangkah ke pentas olimpik, mereka gagal mengulangi pencapaian itu, termasuk terbaharu di Paris 2024 apabila Azeem Fahmi dalam acara 100m hanya mampu mara ke pusingan pertama sahaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top