am@hmetro.com.my
Putrajaya: Penekanan kepada penggunaan teknologi moden dan terkini serta evolusi pertanian negara sepanjang 50 tahun ini, menanti pengunjung Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025.
Tidak lagi sekadar aktiviti bersifat tradisional, kotor serta kurang berdaya saing, sektor pertanian negara kini dipacu dengan pengenalan pelbagai jenis teknologi yang mampu meningkatkan sektor berkenaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak, berkata melalui HPPNK yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu pada 1 hingga 3 Ogos bermula jam 9.00 pagi hingga 10 malam, ada empat fokus yang bakal menjadi asas pameran dan tarikan.
Bertemakan ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’, Isham berkata, HPPNK kali ini mengutamakan keterjaminan bekalan makanan negara dan golongan muda selaku pewaris negara.
Beliau berkata, empat fokus itu adalah Agro Millenia yang membawakan konsep keyakinan bagi golongan muda; Cukup & Terjamin iaitu konsep daya cipta dalam agroteknologi dan inovasi; Sejahtera MADANI yang berkonsepkan kemampanan, hormat dan Sejahtera dan tentunya Jualan & Keusahawanan yang berkonsepkan Sejahtera dan Ehsan yang menonjolkan Jualan Agro MADANI.
“Kita nak tunjukkan evolusi pertanian negara kita daripada sangat konservatif dari sebelum merdeka sehingga apa yang kita ada kini. Orang ramai boleh melihat pertanian ini bukanlah satu sektor yang remeh, satu sektor yang tidak memberikan pendapatan kepada petani tetapi satu evolusi petani yang telah kita lalui daripada pengguna konservatif, tradisional kepada yang moden.
“Sekarang ini kita menonjolkan teknologi dan juga sistem pertanian yang moden.
“Selain itu, ketika ini ramai peladang, penternak, nelayan kita dah tua, dan penerapan teknologi terkini dalam kalangan mereka agak perlahan, justeru kita menggalakkan orang muda untuk sama-sama terlibat dalam pertanian.
“Kadang-kadang orang muda ini nampak pertanian ni sebagai bidang yang tak seksi jadi apa yang seksi ialah teknologi internet berasaskan benda (IoT), di mana dia boleh kawal sistem ladang dengan mengguna telefon bimbit saja,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya, baru-baru ini.
Isham berkata, bagi menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai sektor pertanian, HPPNK kali ini akan membawakan pelbagai aktiviti yang menarik termasuk cabaran e-sukan serta pentas dapur tani yang membawakan keunikan masakan terutama dari Sabah, dengan menggunakan hasil pertanian sedia ada.
Beliau berkata, HPPNK juga akan menonjolkan kemahiran yang membabitkan agro belia dalam usaha kerajaan menepis persepsi dalam kalangan orang muda bahawa pertanian adalah remeh dan pilihan terakhir.
“Kita tidak mahu itu. Kita mahu memberi penampilan bahawa pertanian ini satu pekerjaan murni yang bukan saja memberi pendapatan lumayan tetapi dapat membantu negara dari segi melipatgandakan usaha mencapai agenda keterjaminan.
“Ada juga aktiviti seperti menjahit pusat, seni akualandskap, inovasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian serta peluang perniagaan,” katanya.
Pada masa sama, HPPNK kali ini juga bakal menonjolkan keperluan untuk menjadikan negara mampu mempunyai sumber makanan yang mampan pada jangka masa panjang.
Mengambil contoh situasi yang berlaku di negara jiran ketika ini, Isham menekankan kepentingan Malaysia berdikari apabila berlaku krisis di luar pesisir negara.
“Kudrat itu menunjukkan tekad yang sangat tinggi oleh petani, peladang dan nelayan kita. Dengan usaha mereka, kudrat mereka ini, mereka dapat menghasilkan sumber makanan untuk negara yang mampan pada jangka panjang.
“Ia menjamin pertiwi yang bermaksud menjamin bekalan makanan negara secara lestari untuk jangka masa panjang. Ini sangat penting kerana dengan berlakunya krisis di luar negara, kita perlu memastikan agenda keterjaminan makanan kita terus menjadi asas yang kukuh.
“Kalau apa-apa berlaku kita perlu berdikari dan kudrat petani inilah yang akan membantu kita untuk menjadi sebuah negara yang berdikari untuk menghasilkan makanan dan agenda keterjaminan makan kita diharap dapat dicapai,” katanya.
Isham berkata, kerajaan juga berhasrat supaya setiap petani mempunyai nilai tambah bagi hasil pertanian atau ternakan masing-masing dan tidak sekadar bergantung hasil mentah semata-mata.
Justeru, beliau berkata, petani atau usahawan tani bakal didedahkan dengan teknologi mengetin produk pertanian, pembuatan jem serta makanan sedia dimakan.
“Sebenarnya (kualiti) makanan kita agak baik dan popular kerana kita banyak menghasilkan produk yang halal, dan produk halal ini semakin lama permintaannya sangat besar dan sangat tinggi.
“Cuma kita kena cari cara bagaimana kita dapat fokuskan lagi supaya kita dapat hasilkan produk yang berasaskan industri makanan asas tani,” katanya.
Melalui elemen Cukup & Terjamin, pengunjung akan dipersembahkan dengan statistik dan dapatan bahawa minat orang muda terhadap sektor pertanian negara juga semakin meningkat selain ia bukan lagi pekerjaan yang kotor, sukar dan berbahaya (3D).
Sebaliknya, Isham berkata, sektor pertanian juga mampu menguntungkan dan memberi pendapatan lumayan jika petani, penternak serta nelayan bersedia mengaplikasikan teknologi serta ilmu pertanian yang bersesuaian.
HPPNK yang mensasarkan 500,00 pengunjung itu akan turut membawakan sekurang-kurangnya 136 reruai industri asas tani termasuk 10 reruai kopi, 96 reruai industri asas tani dan makanan, 10 reruai rumpai laut dan ikan hiasan, 10 reruai sarang burung dan 10 reruai durian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



