Teknologi pasca merdeka perlu bertiang nilai, akhlak

Setinggi rasa syukur kerana kita dapat bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan ke-69, beberapa minggu yang lalu. Rasa syukur kerana negara yang sama-sama kita cintai ini dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat dan yang paling ‘mahal’ tidak lain ialah keamanan dan kemakmuran.

Negara ini adalah tanah tumpahnya darah kita. Di bumi ini kesetiaan kepada negara ditanam sedalam-dalamnya dalam jiwa.

Kita mempersembahan jasa bakti mengikut keupayaan sendiri demi mahu melihat negara ini sentiasa aman dan sejahtera serta kita sama-sama dapat menjalani kehidupan duniawi dan ukhrawi dengan sebaiknya.

Tambah membanggakan kita ialah perayaan sambutan hari kemerdekaan negara kali ke-69 ini banyak diwarnai dengan suasana kehidupan berteraskan aplikasi teknologi, termasuk yang terkini kecerdasan buatan atau AI.

Ini bermakna juga yang kita semua, negara kita seiringan majunya dengan negara lain.

Jelas sekali, bahawa negara kita sudah mampu ‘berdiri lebih tinggi’ daripada sesetengah negara maju yang lain.

Semua itu berkat kestabilan sosial dan politik yang selama ini memayungi kehidupan dalam masyarakat.

Sempena menyambut Hari Kebangsaan negara kali ke-69 ini sengaja saya pilih tema teknologi untuk dibicarakan kerana sememangnya jiwa saya adalah ‘orang teknologi’ yang saban hari berkampung dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Dalam hal ini saya mahu mengajak khalayak pembaca semua bahawa teknologi juga perlu mempunyai ‘roh merdeka’ supaya setiap penggunanya mampu menjadikan peralatan dan ilmu teknologi yang sentiasa bertiangkan nilai murni dan adab akhlak mulia.

Jati diri sebagai warga merdeka perlu diterjemahkan dalam penggunaan teknologi juga. Baik, saya ingin teruskan wacana ini kepada bicara hati mengupaskan mengenai teknologi pasca merdeka.

Apa sahaja kerja buat seharian dalam kehidupan hari ini banyak digerakkan oleh penggunaan peralatan teknologi.

Sebut apa sahaja aspek kehidupan duniawi ini, segalanya tertumpu kepada teknologi. Begitu dahsyatnya pengaruh teknolgi pada hari ini.

Kini, teknologi menjadi satu keperluan asas pada setiap orang dan mutakhir ini penggunaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah dan sedang berkembang luas dalam kalangan pelbagai peringkat masyarakat.

AI bukan semata-mata menjadi hak ekslusif golongan intelektual dan bidang tertentu sahaja, sebaliknya AI diguna pakai dalam setiap lapangan kehidupan.

Begitu lajunya perkembangan teknologi masa kini. Meskipun kita sangat ‘memuja’ kehadiran pelbagai peralatan dan ilmu teknologi, tetapi dalam masa sama kita sama sekali tidak mahukan jati diri dan adab serta panduan akhlak tertolak tepi ketika menggunakannya.

Ini kerana kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat perlu dipandu nilai serta akhlak mulia supaya ia dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu, memperkukuh hubungan dan membawa manfaat kepada masyarakat.

Melihat kepada senario dunia teknologi yang wujud hari ini, ada ketika sikap mengabaikan panduan nilai murni dan adab budaya tertolak tepi.

Misal mudah ialah ketika menggunakan AI dalam kerja tugasan akademik dalam kalangan pelajar. Sudah banyak kes yang dikesan bahawa ada kalangan pelajar khususnya di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang bergantung penuh kepada bantuan AI sehingga menipiskan upaya berfikir kritis pelajar hilang begitu sahaja.

Seharusnya, kewujudan AI menjadi pemangkin kepada penambahbaikan kualiti hasil sesuatu karya dan bukan ‘menelan bulat-bulat’ apa yang disediakan AI.

Sepatutnya AI dimanfaatkan sebagai pemudah cara untuk memboleh seseorang pelajar itu menunjukkan upaya diri ke arah menghasilkan sesuatu karya yang jujur dari penyelidikan berintegriti.

Kita sedia menyedari bahawa AI mampu menganalisis maklumat, mempercepatkan tugasan dan membantu manusia membuat keputusan.

Tetapi, satu perkara masih tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada teknologi ialah menentukan sama ada sesuatu tindakan itu jujur, amanah dan berintegriti.

Kita tentu tidak mahu melihat generasi muda khususnya yang berada di bangku sekolah, apatah lagi mereka yang sedang menekuni pengajian di peringkat IPT ‘menenggelamkan’ sikap jujur, integriti dan amanah terhadap sesuatu tugasan.

Andai teknologi berjaya mematikan sikap jujur, integriti dan amanah itu, tidak mustahil yang bakal lahir nanti ialah generasi yang kaku fikiran dan buntu daya kreativiti.

Meskipun pada era Rasulullah SAW dulu belum wujud pelbagai peralatan dan ilmu teknologi, tetapi banyak daripada sabda Baginda yang seharusnya diguna pakai sebagai panduan dalam melayari kehidupan bersandarkan teknologi di zaman moden ini.

Tentang perlunya seseorang itu bersikap jujur dan berintegriti misalnya, ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang menyebut bahawa Rasulullah SAW ingatkan umatnya, “Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak menunaikan janji.”

Sikap jujur merupakan asas kepada pembentukan peribadi berintegriti. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah berpesan yang sabdanya, “Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan menghantarkan seseorang ke syurga…” (Hadis riwayat At-Timirzi)

Ketika merayakan sambutan Hari Kebangsaan, kita melaungkan ungkapan ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ dengan penuh semangat di jiwa.

Ini sangat baik kerana perbuatan sedemikian menggambarkan manifestasi kecintaan kepada negara. Seharusnya kita bersikap bangga dengan negara kita yang telah merdeka dan semakin laju dalam pelbagai lapangan.

Bagaimanapun, andainya ungkapan di bibir melaungkan kata merdeka, tetapi jiwa dan fikiran masih terjajah dengan nafsu dan nilai ketidakjujuran, maka tempang juga wataknya.

Roh merdeka yang gagal diterjemahkan dalam apa sahaja segi kehidupan akan menyebabkan berlaku kecacatan akhlak dan menodai jati diri sejati.

Semoga kehadiran 31 Ogos lalu bukan sahaja mengajak kita semua kembali mengingati detik keramat memperoleh kemerdekaan daripada tangan penjajah British dahulu, tetapi supaya kita semua sedar bahawa kini kini hidup bersandarkan teknologi namun kita perlu sentiasa ingatkan diri bahawa teknologi era pasca merdeka ini seharusnya ‘bertiangkan’ nilai murni dan akhlak murni sejati umat Nabi Muhammad SAW.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top