Tekong, lima warga Myanmar ditahan selepas kereta terbabas

Tekong, lima warga Myanmar ditahan selepas kereta terbabas

nfazlina@nstp.com.my

Jeli: Polis menggagalkan cubaan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menahan tekong dan lima lelaki warga Myanmar di Taman Perumahan PUSPEN, di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengahari itu, lelaki tempatan yang berperanan sebagai tekong berusia 56 tahun bersama lima warga Myanmar berusia 19 hingga 46 tahun ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata ketika rondaan dilakukan, anggota Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) mengesan kenderaan Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di Jalan Jeli-Gerik.

“Apabila diarahkan berhenti, pemandu kenderaan berkenaan bertindak memecut laju sebelum memasuki kawasan perumahan Taman PUSPEN Jeli dan terbabas di bahu jalan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lelaki tempatan sebagai pemandu dan lima lelaki warga Myanmar dalam kenderaan terbabit.

“Semakan awal mendapati kesemua warga asing berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapat lelaki tempatan terbabit mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga positif methamphetamin.

“Kesemua suspek ditahan dan kenderaan terbabit turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“PDRM akan terus komited membanteras aktiviti penyeludupan manusia serta kemasukan PATI bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara di daerah Jeli,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top