Tempahan pisau, kapak, parang tinggi untuk kegunaan Aidiladha

Tempahan pisau, kapak, parang tinggi untuk kegunaan Aidiladha

am@hmetro.com.my

Marang: Pisau, kapak dan parang merupakan alatan yang menjadi tumpuan ramai menjelang Aidiladha, mendorong seorang pembuat senjata tajam menggandakan usaha bagi menyiapkan tempahan yang diterima.

Mohd Walid Jalaluddin Abu Osman, 37, dari Kampung Gong Nangka berkata, sebulan menjelang Aidiladha permintaan akan meningkat antara dua hingga tiga kali ganda.

Menurutnya, pada bulan biasa dia hanya menyiapkan antara 20 hingga 30 bilah yang ditempah, namun menjelang Aidiladha permintaan melonjak antara 60 hingga 70 bilah.

Katanya, setiap bilah dijual dengan harga serendah RM100 hingga lebih RM1,000 dan biasanya ditempah oleh pelanggan tetap yang biasa menggunakan senjata tajam yang dihasilkan olehnya.

“Dalam penghasilan senjata tajam ini saya menggunakan ‘besi mata mengetam’ dan permintaannya datang dari seluruh negara.

“Sebulan sebelum Aidiladha, tempahan untuk kegunaan hari raya korban terpaksa ditutup kerana bimbang pelanggan tidak dapat menggunakan senjata berkenaan untuk ibadah penyembelihan,” katanya.

Menurutnya, tempahan untuk kegunaan pada Aidiladha saja ditutup sebulan sebelum namun untuk kegunaan biasa dia menerima tempahan seperti biasa.

Katanya, cabaran utama dalam pembuatan senjata tajam ini adalah untuk mendapatkan bekalan arang bagi kegunaan dalam proses menempa senjata yang dihasilkan.

Mohd Walid berkata, dia mampu menyiapkan bilah lapah antara dua ke tiga unit sehari, manakala bilah sembelih pula kira-kira dua bilah dalam tempoh tiga hari.

“Permintaan paling tinggi iaitu kapak, parang melapah tulang dan bilah pisau untuk sembelih ternakan korban dan kebanyakan pelanggan terdiri dalam kalangan orang muda.

“Seawal jam 8 pagi saya sudah ke bengkel dan berehat seketika pada 12.30 tengah hari, manakala akan menyambung semula kerja pada 3 hingga 6.30 petang.

“Alhamdulillah, Aidiladha merupakan lubuk rezeki bermusim buat saya untuk meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

Menurutnya, pada hari biasa dia menerima tempahan untuk membuat pisau, kapak dan sebagainya oleh pengumpul (collector) yang inginkan senjata buatan tangan.

Katanya, tempahan untuk kegunaan pada Aidiladha sememangnya banyak namun kekangan waktu dan dia pula bekerja seorang membuatkan tempahan dihadkan terutama bagi yang tinggal jauh.

“Kalau yang tinggal berdekatan mungkin mereka boleh datang ambil namun yang jauh dan terpaksa dipos akan mengambil masa untuk sampai ke tangan pembeli.

“Bagi yang jauh, tempahan ditutup lebih awal bagi mengelak pembeli hampa kerana pisau yang ditempah tidak dapat digunakan seperti yang dihajati,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top