Tempoh sebulan ini masih ada waktu – Roslin

Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim percaya dan yakin bahawa skuad badminton negara mempunyai masa yang mencukupi untuk ‘mengulangkaji’ semula latihan sebelum beraksi dalam kejohanan pertama antarabangsa di Thailand sejak wabak COVID-19 menular.

“Saya harap mereka melakukan persiapan lebih mantap, tempoh sebulan ini masih ada waktu untuk mengulangkaji dan melihat kembali video perlawanan terdahulu”, katanya.

Menurut Roslin, walaupun pemain negara akan turun bermain di kejohanan pertama antarabangsa sejak wabak COVID-19, namun jangan jadikan perkara itu sebagai alasan andai kalah awal.

“Keputusan kena jaga, jangan bagi alasan lama tidak bermain. Berikan yang terbaik kalau boleh juara lagi bagus. Tidak boleh fikir kita saja lama tidak bermain negara lain pun sama”, katanya.

Menurutnya, pemain negara tidak berdepan masalah dari segi fizikal kerana sudah lama berlatih sejak pertengahan tahun lalu namun mungkin perlu cepat memperkukuhkan kekuatan mental.

“Kalau ikutkan persiapan hari-hari mereka berlatih cuma kita akan tengok bagaimana pula dari segi kekuatan mental mereka kerana sudah lama tidak beraksi di kejohanan antarabangsa”, katanya.

Roslin tidak sabar untuk melihat aksi jaguh perseorangan dunia lelaki negara, Lee Zii Jia yang sebelum ini berada pada kemuncak prestasi ketika di Masters Malaysia dan Seluruh England.

“Kita agak terkilan kerana prestasi Zii Jia tengah naik sebelum semua kejohanan dibatalkan akibat COVID-19. Mungkin kali ini ia sedikit mengganggu keyakinannya. Jadi saya harap dia menggunakan peluang sebaik mungkin di Thailand”, ujarnya.

Dalam Masters Malaysia dan Seluruh England tahun ini, Lee Zii Jia berjaya mara sehingga ke separuh akhir.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk